SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan dua pembantu kesihatan sebuah hospital di negeri itu kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM15,000 setiap seorang bagi kerja-kerja berkaitan pengurusan jenazah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan pada 4.45 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman. – Bernama, 26 Mei, 2022.
Komen