Kes HFMD meningkat 24 kali ganda, kata KJ


Raevathi Supramaniam

TERDAPAT peningkatan 24 kali ganda dalam jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan antara 1 Januari hingga 25 Mei berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Antara Januari hingga 25 Mei, sebanyak 57,510 kes HFMD telah dibandingkan dengan 2,333 kes bagi tempoh yang sama pada 2021.

“Perbandingan itu tidak berguna kerana tahun lepas, tidak banyak pergerakan dan tadika ditutup,” kata Khairy pada sidang media khas secara maya dari Geneva, Switzerland hari ini.

“Berbanding 2019, tempoh sebelum pandemik, 27,664 dilaporkan dalam tempoh yang sama, yang bersamaan dengan peningkatan satu kali ganda. Jadi, ada peningkatan, tetapi tidak drastik.”

Khairy berkata peningkatan mendadak dalam kes adalah disebabkan oleh aktiviti sosial dan pembukaan semula sepenuhnya sekolah dan tadika pada April.

“Kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD,” katanya.

“Peningkatan ini makin memuncak…disebabkan aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.”

Tambahnya, jumlah kes HFMD mingguan berada dalam lingkungan julat antara 1,500 hingga 15,000 dengan 300 hingga 2,000 kes harian dilaporkan.

“Lima negeri dengan jumlah kes tertinggi ialah Selangor (16,286), Kuala Lumpur dan Putrajaya (7,298), Perak (5,045), Kelantan (4,194) dan Sabah (3,829).

“Majoriti kes, 92 peratus (52,846) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah manakala 7 peratus (3,741) melibatkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.”

Sehingga 25 Mei, hanya dua kanak-kanak dimasukkan ke hospital dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), kata Khairy.

“Kanak-kanak pertama semakin pulih dan tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan manakala kanak-kanak kedua masih memerlukan bantuan pernafasan tetapi stabil.”

Khairy berkata 1,370 wabak dikesan di tadika, rumah persendirian dan taska.

Katanya KKM telah menyerahkan analisis risiko wabak itu kepada klinik kesihatan tempatan. – 26 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen