Kes HFMD meningkat dua kali ganda, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 47,209 kes jangkitan HFMD dilaporkan sejak awal tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2022.

KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) meningkat dua kali ganda minggu ini kepada 15,548 iaitu peningkatan 106.6% berbanding 7,526 kes minggu lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini adalah 20 kali lebih banyak berbanding kes direkodkan bagi minggu epidemiologi tahun lalu, iaitu hanya 2,237 kes.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 47,209 kes jangkitan HFMD dilaporkan sejak awal tahun ini.

“Peningkatan kes dijangkakan susulan pergerakan rakyat Malaysia sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataa.

“Kebanyakan kes (93%) membabitkan kanak-kanak bawah usia enam tahun, sementara 6% dalam kalangan umur tujuh hingga 12 tahun.”

Majoriti kes dilaporkan di Selangor iaitu 29.9%, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (13.1%), Perak (8.7%), Kelantan (7.9%) dan Sabah (7.1%).

Sejak awal 2022, tiga jenis virus utama yang menyebabkan HFMD dalam masyarakat dikenal pasti, kata Dr Noor Hisham.

Ia termasuk Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

“Dua pesakit HFMD didapati positif EV71 dan dipantau di ICU kerana mengalami keradangan otak. Kedua-dua kes membabitkan kanak-kanak bawah enam tahun,” katanya.

Di Malaysia, sebanyak 1,168 kes dilaporkan, dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan jumlah tertinggi iaitu 413 (35.4%) dan Selangor 143 kes (12.2%), sementara Perak 130 kes (11.1%).

Kebanyakan kes berlaku di pra sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak. – 24 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen