Pudarnya impian kiri


Wan Hamidi Hamid

SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina, elok kita kendurkan ketegangan politik buat seketika. Setidak-tidaknya itulah impian saya untuk catatan kali ini walaupun isinya tetap politik.

Yang saya maksudkan adalah politik ‘off the beaten track’ atau yang bukan arus perdana. Catatan ini bukan tentang Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Ia lebih menjurus kepada serpihan sejarah, puing-puing kenangan perjuangan lama.

Pada akhir Januari lalu, sebuah catatan kecil di alam internet telah mengusik jiwa saya. Ia berbunyi:

‘Taman Muda Morning Market Hawkers’ Association, Parti Rakyat Malaysia, MCA and Gerakan today openly condemned the DAP ADUN Teratai for suing the association Chairman Chow Chee Kin over defamation case.’

Ia tidak mempunyai sebarang nilai berita yang besar. Kenyataan kecil itu daripada seorang bekas Adun DAP yang baru menyertai PRM (Parti Rakyat Malaysia) membawa berita bahawa PRM kini senada dengan MCA dan Gerakan yang merupakan komponen Barisan Nasional.

Walaupun isu itu bersifat tempatan, timbul persoalan sama ada PRM sudah sehati-sejiwa dengan BN, dan apa sudah jadi dengan PRM yang suatu ketika dahulu merupakan gergasi politik tanahair yang mencabar kuasa penjajah Inggeris serta pemerintah Perikatan, dan kemudiannya BN?

Nostalgia

Walaupun saya tidak pernah berkesempatan menyertai PRM, ia tetap menjadi nostalgia penting dalam hidup saya, terutama mengenang kembali zaman persekolahan. Di Pulau Pinang sekitar 1970-an dan awal 1980-an, walaupun PRM memang sudah mula letih, ia adalah penemuan baru untuk saya. Sangat teruja.

Ia membolehkan saya mencari asal-usul perjuangan Partai Rakyat Malaya yang dibawa oleh Ahmad Boestamam dengan sokongan Dr Burhanuddin Al-Helmi pada 1955. Ideologinya adalah marhaenisme yang diambil daripada Sukarno bapa kemerdekaan Indonesia, dan diperjelaskan oleh Boestamam bahawa marhaenisme itu adalah sosialisme bagi rantau ini.

PRM yang majoritinya orang Melayu bergabung dengan Parti Buruh Malaya yang kebanyakannya dianggotai orang Cina dan India untuk membentuk pakatan yang diberi nama Barisan Sosialis. Kejayaan mereka di kawasan-kawasan bandar sekitar akhir 1950-an dan sepanjang 1960-an amat memberangsangkan.

Namun, pergaduhan kaum 1969 serta manipulasi politik pemerintah telah menutup pintu kepada politik ideologi. Era Tun Razak pada awal 1970-an meluaskan Perikatan menjadi BN, dan ia menyaksikan perkembangan apa yang digelar politik pembangunan.

Ini bererti, sementara politik kaum dikekalkan, dominasi Umno dalam BN terserlah sehingga menjadikan semua komponen sekadar penyeri majlis, terutama menjelang akhir alaf lama. Dan tentunya perbahasan tentang ideologi diketepikan serta dikelmarinkan.

Setelah terbubar Parti Buruh akibat tekanan pemerintah, dan BN pula menguasai hegemoni politik Malaysia mulai 1970-an, PRM terus dimomokkan dengan komunisme walaupun ia merupakan wadah sosialis yang demokratik serta mengekalkan nasionalisme Melayu progresifnya.

Apabila era PRM mulai pudar, jalan keluarnya muncul pada akhir dekad 1990-an apabila timbul gerakan Reformasi yang memperjuangkan Anwar Ibrahim.

Pimpinan PRM mengambil keputusan untuk meninggalkan parti mereka beramai- ramai bagi menyertai Parti Keadilan Nasional yang ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat sebagai tanda kompromi.

Keloloh

Selepas itu, jarang didengar tentang parti ini. Tiba-tiba arena politik negara dikejutkan – walaupun mungkin selama lima minit sahaja – dengan kehadiran seorang calon PRM dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 7 Mei 2015 untuk mengisi kekosongan Anwar yang dipenjarakan, sekali lagi, oleh kerajaan BN.

Dalam pertandingan empat penjuru itu yang dimenangi mudah oleh Dr Wan Azizah Ismail, calon PRM itu yang bernama Azman Shah Othman hilang deposit apabila mendapat 101 undi atau 0.19% sahaja. Malah undi yang diperolehinya kurang daripada yang diraih oleh calon bebas yang mendapat 367 undi. Memang keloloh.

Kisah sedih itu amat perit bagi PRM. Selepas 1990, setelah robohnya Tembok Berlin, ia bukan lagi parti berideologi marhaenisme atau sosialisme. Ia sekadar wadah biasa-biasa seperti mana puluhan parti kecil lain.

Memang saya pernah dengar sebelum ini ada usaha segelintir anak muda mahu menghidupkan PRM kembali kepada era gemilangnya dahulu, namun ia tidak ke mana. Tidak pasti sama ada kerana tiada reformasi dalaman atau kerana tiada siapa yang sanggup berbuat apa-apa serta selesa dengan keadaan yang lemah- longlai itu.

Aktivis

Kini, selain berita kecil tentang PRM terlibat dengan MCA dan Gerakan dalam politik penjaja di pinggir Kuala Lumpur, ada pula berita tentang beberapa bekas wartawan dan aktivis dari kalangan kaum Cina yang baru menyertai PRM di Pulau Pinang.

Adakah PRM kini sedang mengubah wajahnya daripada nasionalis Melayu kiri kepada politik progresif kaum Cina? Adakah dalam pilihan raya umum ini ia akan bergabung tenaga dengan parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan?

Laporan berita akhir bulan lalu menyatakan barisan baru PRM Pulau Pinang berhajat melawan kerajaan PH pimpinan DAP. Malah, mereka bercita-cita mahu menjadi kerajaan negeri yang baru.

Sama ada mereka serius atau sekadar bermimpi di siang hari, itu hak mereka. Sama ada mereka hanya akan memecahkan undi supaya BN boleh kembali berkuasa di Pulau Pinang, itu juga terpulang kepada tafsiran masing-masing.

Yang pasti, suara gah PRM sewaktu era Barisan Sosialis sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya bayang-bayangnya yang letih, lesu dan lelah. Yang ada hanya ejekan hidup segan mati tak mahu. Yang ada hanyalah sebuah mimpi sedih.

Namun, selepas PRU14 ini mungkin akan ada usaha serius bagi mengembalikan sesuatu yang lebih jujur dan berani untuk PRM daripada sekadar buat-buat sibuk menjelang pilihan raya.

Mungkin pula akan ada segolongan insan pelbagai kaum, gender, agama serta wilayah yang mahu mengembalikan perjuangan asal. Malah, mungkin PRM akan kembali sebagai wadah sosialis seperti dulu.

Segalanya mungkin. Seperti hari yang mulia dan indah ini sebagai penanda tahun baru yang memungkinkan kita untuk terus berangan-angan menaruh harapan setinggi Gunung Kinabalu atau setidak-tidaknya The Exchange 106. – 17 Februari, 2018.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen