PEMERIKSAAN dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam di pasaran.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan berkenaan dilakukan susulan laporan ‘kartel’ ayam bertindak memberhentikan operasi ladang, sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan ayam di pasaran.
Menyifatkan laporan itu kurang tepat, kementerian itu memaklumkan syarikat ladang ayam memberikan jaminan ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam ‘super’, ayam ‘standard’ serta keratan ayam.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada dalam kalangan ladang ayam ini menghadapi masalah kenaikan berat badan ayam terganggu akibat kualiti dedak makanan ayam, selain jangkitan penyakit dan keadaan cuaca panas melampau yang turut mengganggu pembesaran ayam di ladang terutama di reban sistem terbuka.
“Ini memberikan kesan kepada bekalan ayam di kawasan tertentu,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menjelaskan proses penilaian pemberian subsidi ayam kepada penternak yang mengemukakan permohonan, sedang disegerakan dan penternak yang memenuhi syarat serta mendapat kelulusan pembayaran akan memperoleh tuntutan dalam tempoh dijanjikan.
“Mafi akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang terbabit secara langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan.
“Mafi memandang serius isu yang mengancam sekuriti makanan negara dan sentiasa berusaha dengan pihak berkepentingan dalam menstabilkan kembali bekalan, bagi menjamin bekalan ayam mencukupi untuk keperluan negara sepanjang masa,” menurut kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan kekurangan bekalan ayam di pasaran disebabkan ‘kartel’ ayam bertindak menghentikan operasi ladang semalam dan hari ini.
Menerusi laporan berkenaan, alasan yang diberikan ayam di ladang belum mencapai berat jualan akibat masalah penggemukan ayam terjejas. – Bernama, 22 Mei, 2022.
Komen