Mafi sambut baik inisiatif swasta promosi mangga Harumanis


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata Program Sama-Sama Lokal oleh Maybank di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perlis dapat beri kesan positif kepada pengusaha mangga Harumanis. – Gambar Facebook, 20 April, 2022.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyambut baik inisiatif pihak swasta dalam mempromosikan mangga Harumanis bagi membolehkan pengguna membuat prapesanan dan bayaran secara dalam talian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata Program Sama-Sama Lokal yang dibangunkan oleh Maybank di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perlis dapat memberi impak positif kepada pengusaha Harumanis di negeri ini. 

“Menerusi platform ini juga, pelanggan boleh mendapatkan penjimatan sehingga RM36 dengan perbelanjaan minimum RM120 melalui kod promosi HARUMANIS30. Kempen Harumanis Kembali Lagi ini bermula pada 28 Mac sehingga 22 Mei,” katanya menerusi satu kenyataan oleh Jabatan Pertanian Malaysia hari ini.

Kenyataan tersebut memaklumkan Nik Muhammad Zawawi turut mengadakan lawatan kerja ke Projek Harumanis Kampung Bukit Chabang dan Projek Harumanis Kampung Tanah Pasir, Beseri di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Eliyas Saad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis  Hafizuddin Othman.

Beliau berkata Jabatan Pertanian Negeri Perlis juga menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat perkhidmatan kurier iaitu Pos Malaysia, City-Link Express, GDEX dan Line Clear Ekpress bagi memastikan Harumanis dapat dinikmati oleh pembeli di seluruh Malaysia dalam keadaan berkualiti dan selamat dimakan.

“Pembeli dinasihatkan agar merujuk panduan mengenali Harumanis Perlis yang dikeluarkan Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) selain membeli dengan penjual yang diiktiraf oleh Jabatan Pertanian. 

Katanya pihaknya menggalakkan orang ramai menjadikan Harumanis sebagai juadah untuk berbuka puasa dan sebagai cenderahati atau hadiah korporat sempena menyambut Syawal kelak.

“Pemberian mangga Harumanis sebagai hadiah korporat dilihat sebagai sesuatu yang amat bermakna dan eksklusif memandangkan mangga Harumanis Perlis berkualiti premium dan hanya boleh didapati pada waktu ini sahaja,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata secara keseluruhannya pengeluaran mangga Harumanis Perlis pada tahun ini dianggarkan berjumlah 1,427 metrik tan dengan anggaran nilai jualan berjumlah RM38.53 juta. – Bernama, 20 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen