Jemaah haji berisiko digesa ambil dos penggalak ke-2, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

KKM menggesa jemaah haji mengambil suntikan penggalak ke-2 bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah ketika berada di Mekah. – Gambar AFP, 21 Mei, 2022.

WARGA emas, terutama yang mempunyai penyakit klinikal, digesa mendapatkan dos penggalak kedua Covid-19 sebelum menunaikan ibadah haji, kata Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah ketika berada di tanah suci.

“KKM menggesa jemaah haji berumur 60 tahun ke atas serta jemaah berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal menghidap penyakit teruk, mendapatkan dos penggalak kedua sebelum bertolak ke Mekah.”

Sebagai langkah tambahan, KKM kini mengesyorkan agar semua bakal jemaah haji berumur 12 hingga bawah 18 tahun mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.”

“Bagi remaja yang lengkapkan dos utama dan didapati dijangkiti Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak selepas pulih sepenuhnya,” kata Khairy dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pemberian dos penggalak boleh diberikan dalam tempoh dua minggu sebelum atau selepas suntikan lain diberikan.

Sebagai rekod, jemaah haji juga perlu mendapatkan vaksin meningokokus, influenza atau pneumokokal.

“Jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir terus tanpa temu janji (walk-in) di PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan (seperti bukti surat tawaran menunaikan haji),” katanya lagi.

Awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata Malaysia memohon tambahan 5,000 kuota haji daripada kerajaan Arab Saudi untuk musim haji tahun ini.

Beliau berkata kelulusan bergantung kepada apa yang mampu ditawarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Pada 21 April lalu, Idris mengumumkan kuota jemaah haji Malaysia adalah 14,306 atau 45% daripada kuota biasa yang diberikan oleh Arab Saudi.

Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima pada 2019. – 21 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen