Negara tidak maju jika rakyat manja, kata Khaled


Mohd Farhan Darwis

Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin berkata sikap kebergantungan rakyat kepada kerajaan yang terlalu tinggi menyukarkan negara untuk bergerak lebih maju. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2018.

SIKAP kebergantungan rakyat kepada kerajaan yang terlalu tinggi menyukarkan negara untuk bergerak lebih maju, kata Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata kerajaan dilihat terlalu memanjakan rakyat sehingga apabila beberapa tindakan yang dilaksanakan kerajaan mengakibatkan rakyat mula bersuara.

Sejak akhir-akhir ini rakyat banyak buat bising, mungkin kerajaan manjakan rakyat. Sifat kebergantungan rakyat kepada kerajaan terlalu tinggi. Kalau negara teruskan negara tak boleh maju,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Tionghua di Johor Baru, hari ini.

Khaled turut menggunakan contoh Korea Selatan yang melakukan beberapa perubahan yang tidak disenangi rakyat negara itu namun selepas beberapa ketika negara itu mula melangkah menjadi negara maju.

Katanya, jika kebergantungan kepada kerajaan berkurang, rakyat akan bekerja keras dan hasilnya dapat dilihat hari ini dengan peningkatan ekonomi sebanyak 5.9%.

“Sama macam kita ada keluarga,  walaupun anak kita sudah berkeluarga dan masih bergantung kepada ibu bapa, mereka tidak akan berjaya.

“Sama macam negara, didedahkan kepada rakyat supaya rakyat berusaha dan kerja keras. Hari ini kita dapat lihat tanda-tanda negara akan pulih seperti sebelum ini.

“Kita tengok daripada segi ekonomi berkembang 5.9% tahun lepas. Begitu juga ringgit. Makin stabil. Makin berada pada paras sewajarnya.

“Kita boleh lihat bagaimana perjanjian dengan Singapura tentang kereta api laju. Kalau negara kita bankrap saya percaya Singapura tidak setuju dengan projek itu kerana sebahagian besarnya projek itu ditanggung Malaysia,” kata Khaled.

Adun Kempas itu berkata pihak tertentu sengaja menyebarkan dakyah tidak tepat kerana iri hati dengan pentadbiran kerajaan hari ini.

“Ini semua cakap-cakap puak yang iri hati dan hendak ambil alih kedudukan yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya pelaburan China mampu menjadikan Johor sebagai penyumbang ekonomi terbesar Malaysia.

“Pada hari ini kita tidak boleh ketepikan pengaruh dan kemunculan negara China sebagai kuasa ekonomi baru. Satu hari nanti Johor akan jadi kuasa ekonomi Malaysia jadi negeri lain tak boleh ketepikan Johor.

“China muncul hari ini mengambil alih kuasa ekonomi daripada Amerika Syarikat dan Eropah, atas sebab itu kita dapat lihat banyak pelaburan dari China, bukan saja di Malaysia tapi negara yang sokong inisiatif ‘One Belt One Road’. Kalau kita tidak beri peluang di negara kita China akan masuk negara lain,” katanya.

Katanya, Johor juga sebelum ini menerima pelaburan dari luar negara dan tidak menghadapi sebarang masalah.

“Sebelum ini kita terima pelaburan banyak negara lain tak pernah ada masalah. Tapi perkara ini dijadikan bahan politik. Seolah-olah memudaratkan dan tidak baik.

“Malaysia akan rugi jika tidak mengendahkan China, semua negara berusaha menggalakkan pelaburan China dalam negara masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Khaled menyeru agar komuniti Tionghua menyokong usaha kerajaan kerana mereka mempertahankan pelaburan dari China. – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kat korea mana ada pm penyamun

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan