Bahaya jika hanya Melayu tadbir tanpa wakil Cina, kata Khaled


Mohd Farhan Darwis

Masyarakat Cina perlu kembali menyokong Barisan Nasional untuk membolehkan wakil kaum itu menyertai pentadbiran kerajaan, kata Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin. – Gambar AFP, 16 Februari, 2018.

MENTERI Besar Johor Mohamed Khaled Nordin menyeru masyarakat Cina di negeri itu kembali menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membolehkan wakil kaum itu menyertai pentadbiran kerajaan.

Khaled berkata situasi semasa hari ini amat bahaya kepada negara kerana memperlihatkan hanya komuniti Melayu berada dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat Cina berada di pihak pembangkang.

“Akhir-akhir ini kita lihat kerajaan semua (dianggotai wakil) Melayu, bukan dalam kerajaan (adalah wakil kaum) Cina. Itu tidak bagus. Kerajaan mesti ada kaum Tionghua. Bukan satu-satu kaum,” katanya.

Hanya seorang wakil MCA, Tee Siew Kiong kini mewakili kelompok masyarakat itu sebagai exco dalam kerajaan negeri Johor.

Seorang lagi wakil MCA dalam kerajaan Johor ialah Adun Paloh Teoh Yap Kun. Selain dua kerusi DUN, MCA turut menguasai empat kerusi Parlimen – Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai.

Sementara 13 lagi kerusi majoriti Cina di Johor dikuasai DAP.

Khaled berkata pengundi Cina perlu memutuskan sendiri perkara itu kerana undi kepada pembangkang menunjukkan golongan itu tidak mahu diwakili dalam pentadbiran kerajaan.

“Sangat penting supaya dalam kerajaan ada wakil masyarakat Tionghua. Jangan (biar) keadaan tidak ada wakil Tionghua dalam kerajaan di Johor. Saya tidak mahu lihat keadaan itu berlaku, saya mahu ada wakil Tionghua di Johor.

“Tapi ini mesti diputuskan oleh kamu sendiri. Kecuali kamu tidak mahu ada wakil dalam kerajaan dan kamu undi bukan kawan saya,” kata Khaled ketika berucap di majlis Sambutan Tahun Baru Cina Persekutuan Tionghua Johor Baru, hari ini.

Beliau berkata jika wakil dari masyarakat Cina menyertai kerajaan Johor, usaha untuk menyelesaikan masalah isu melibatkan kaum tersebut akan lebih mudah.

“Akan datang ini saya harap kita bijak mencari keseimbangan, kerana masyarakat Tionghua itu sendiri yang akan bawa kesan kepada masyarakat mereka kalau mereka buat kesilapan.

“Bila mereka ada di dalam (kerajaan) kita akan senang tahu apa masalah dan cabaran masyarakat Tionghua. Bila kita cari penyelesaian kita akan cari cadangan dan input masyarakat Tionghua, ia sangat penting,” katanya.

Beliau berkata pengundi muda Cina juga perlu mendengar pendapat generasi yang lebih tua dalam membuat pilihan semasa mengundi.

“Dengar cakap mereka yang berumur,  mereka faham ‘wisdom’ keputusan mereka. Anak muda tolong dengar orang tua.

“Kita harap orang tua dalam komuniti Cina berupaya menasihati yang muda, kalau kita kerajaan satu kaum, pembangkang kaum lain tidak akan tenang,” katanya.

BN pada masa ini sedang cuba memikat pengundi Cina kembali menyokong MCA, parti komponen kedua terbesar dalam gabungan kerajaan yang kalah teruk pada PRU13.

Walaupun MCA mempunyai lebih sejuta ahli pada 2013, hanya 661,469 masyarakat Cina di Malaysia yang mengundi BN. Sebaliknya, 2.92 juta pengundi Cina memilih Pakatan Rakyat pada masa itu. – 16 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sebenarnya dacing tak lagi seimbang bukan sebab kaum Cina tak sokong. Ketuannan yg sekali sekala dialu-alukan yg menyebabkannya. Lebih baik kami taruh segala harap kepada Pakatan.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Lg bahaya kalu penyamun yg jd pemerintah

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Bahaya untuk pihak siapa? Untuk negara atau kaum China? Sudah ketara sumbangan kaum China kurang dihayati oleh kerajaan Umno Dan kesannya harus dialami oleh semua rakyat.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Panchen Low · Ulasan

  • Melayu yang begitu bangga dengan ketuanan meloyakan kaum lain. UMNO dibawah Najib yang nyata kleptokrat...MCA yang dah basi...begitu juga MIC....semua mereka sudah tidak releven dalam suasana politik sekarang.

    Kenapa salahkan kaum cina kerana tak menyokong kerajaan BN?...mereka tiada keuntungan untuk berbuat demikian.

    tapi realitinya...kaum cina sokong DAP dan DAP adalah anggota PH....bermakna kaum cina akan bersama kerajaan PH.

    BN?...terimalah nasib kesombongan mu.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Putra Kraken · Ulasan

  • Kesian si EM CINA ADA & EM INDIA ADA ... jadi pengemis ...dan perlu UNMONKEY rayu mengundi diorng ...

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ramamurthi ram · Ulasan