NAHAS pesawat China Eastern Airlines pada Mac lalu dipercayai disengajakan, lapor Wall Street Journal pada Selasa, memetik sumber siasatan oleh penyiasat Amerika Syarikat (AS).
Tragedi yang mengorbankan 132 orang dalam pesawat MU5375 itu disifatkan sebagai nahas udara paling dahsyat di China dalam beberapa dekad.
Laporan menyebut penyiasat AS percaya penerbangan yang dalam perjalanan dari Kunming ke Guangzhou pada 21 Mac itu dengan tiba-tiba menjunam dari ketinggian 29,000 kaki ke lereng gunung.
Sumber yang arif dengan siasatan itu berkata, data menunjukkan bahawa seseorang berkemungkinan juruterbang atau sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke dalam kokpit telah memasukkan input yang dipercayai menyebabkan pesawat Boeing 737-800 itu menjunam.
“Pesawat melakukan apa yang diarahkan oleh seseorang di dalam kokpit,” lapor Wall Street Journal memetik penilaian awal pegawai penyiasat AS.
Sumber percaya rumusan mereka itu disokong oleh fakta bahawa penyiasat China setakat ini tidak mengaitkan sebarang masalah dengan pesawat atau kawalan penerbangan yang boleh menyebabkan nahas berlaku, katanya.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) AS dan Boeing semalam enggan mengulas mengenai laporan siasatan itu kepada AFP.
Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada April berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan Boeing, pasukan penyiasat pengeluar pesawat yang berpusat di AS itu tidak menemui bukti berlaku “insiden yang tidak normal”.
Dalam kenyataannya CAAC berkata kru penerbangan telah memenuhi semua syarat keselamatan sebelum berlepas, pesawat tidak membawa barang berbahaya, malah cuaca juga baik pada hari kejadian. – AFP, 18 Mei, 2022.
Komen