Jenazah 3 penuntut USAS selamat dikebumi


Kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kuala Kangsar pada tengah malam Rabu menyebabkan lima sahabat rentung dalam satu kereta. – Gambar ihsan Bomba dan Penyelamat, 14 Mei, 2022.

JENAZAH tiga lagi penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada tengah malam Rabu, masing-masing selamat dikebumikan di Negeri Sembilan, Selangor dan Johor, hari ini.

Jenazah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Iqbal Hasnun Halimi, 23; dan Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid USAS lewat malam tadi selepas proses pengesahan mayat selesai.

Jenazah Muhammad Nasrun Aidol yang tiba di rumahnya di Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Bharu pada jam 2.07 pagi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Kuala Kubu kira-kira jam 7.55 pagi ini.

Di Negeri Sembilan, jenazah Muhammad Nabil Haikal yang tiba di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Mahang, Nilai pada jam 3 pagi sekali lagi disolatkan di situ pada jam 7.50 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kariah Batang Benar kira-kira jam 9 pagi.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 100 orang apabila ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nabil dilihat tidak dapat menahan sebak ketika urusan pengebumian itu dijalankan.

Bapa Allahyarham, Muhammad Fariz Amat Jusak, 49, meluahkan rasa lega selepas semua urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah anaknya itu selesai selain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit.

“Saya reda dengan pemergian arwah anak saya dan saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mendoakan anak saya termasuk rakan-rakannya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka,” katanya kepada pemberita di tanah perkuburan selepas selesai pengebumian.

Sementara itu di Johor, jenazah Iqbal Hasnun yang tiba di kediaman keluarganya di Taman Impian Jaya, Senai pada jam 6 pagi ini disolatkan sekali lagi di Surau Taman Impian Jaya sebelum dikebumikan tanah perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong pada jam 7.30 pagi.

Bapa Allahyarham, Halimi Ali Yahad, 50, ketika ditemui berkata, keluarganya bersyukur kerana semua urusan arwah termasuk pengebumiannya berjalan lancar selain menghargai doa pelbagai pihak terhadap anaknya itu.

“Ada yang melakukan solat hajat, membacakan doa, (surah) Yasin… ia amat bermakna dan mempermudahkan urusan arwah kerana pada awalnya proses bagi menuntut jenazahnya dikatakan memakan masa lebih lima hingga enam hari.

“Selepas solat Jumaat semalam, ada petanda ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dituntut pada hari sama. Semua keluarga berasa nikmat walaupun perit menerima kenyataan mereka sudah tiada dan nikmat paling besar adalah nilai persaudaraan insan yang tidak kami kenal yang mengambil berat kebajikan dan kebaikan untuk kami,” katanya.

Semalam, jenazah seorang lagi mangsa kemalangan ngeri itu Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Hijau di Parit Buntar, Perak, manakala jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal di Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam Rabu itu, lima penuntut USAS berkenaan yang menaiki kereta Honda City rentung apabila kenderaan dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan bersama dua treler di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Kuala Kangsar, Perak.

Kenderaan itu dipandu Muhammad Nasrun Aidol, manakala Ahmad Naim Najmi duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Muhammad Nabil Haikal, Iqbal Hasnun dan Ahmad Akmal, duduk di bahagian penumpang belakang. – Bernama, 14 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen