Pemandu treler kes maut 5 siswa didakwa Selasa


KERTAS siasatan terhadap pemandu treler yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan sehingga mengorbankan lima nyawa di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar pada Rabu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan yang membabitkan pemandu treler berusia 28 tahun itu.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada pagi Selasa dan jika tiada apa-apa masalah, kami akan buat pertuduhan di mahkamah pada sebelah petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, polis juga akan memohon lanjutan tempoh reman ke atas lelaki berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media sebelum ini melaporkan pemandu treler yang ditahan reman selama empat hari didapati mempunyai 22 saman trafik dan daripada jumlah itu 21 saman sudah dibayar, termasuk lapan saman berkaitan kesalahan memandu laju.

Lima maut akibat rentung dalam kemalangan itu pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang juga rakan serumah. – Bernama, 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen