Harapan pekerja generasi keciciran


Fakhrurrazi Rashid

RAYA tahun ini, saya bersama keluarga berkenalan di rumah keluarga mertua di Jerantut, sebuah kawasan separa bandar yang terkenal dengan kehijauan Taman Negara.

Sudah hampir dua tahun tidak menyambut raya di perantauan akibat pandemik. Jadi, nikmat Syawal kali ini, dengan berita mengejut Hari Raya awal sehari, menambahkan lagi rasa kegembiraan dan gelak-tawa apabila berkumpul dengan kaum keluarga.

Meskipun kebanyakan anak kampung pulang bercuti, orang tempatan di sini lain pula kisahnya. Kemeriahan Aidilfitri kali ini merupakan kesempatan yang ada untuk orang tempatan mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka.

Malah, pada hari raya pertama lagi, ramai pekerja di pasaraya dan kedai runcit di Jerantut yang mengenakan baju raya dan bekerja seperti biasa.

Pada pagi Syawal kedua, saya pergi ke sebuah stesen minyak di Jerantut untuk mengisi minyak kereta. Di sini, kebanyakan stesen masih menyediakan perkhidmatan pembantu pam dan selalunya terdiri daripada orang muda tempatan. Tidak seperti stesen minyak di kawasan metropolitan yang gemar mengambil pekerja asing menjadi pembantu pam.

Hari itu, seorang pembantu pam anak muda Melayu, lengkap berbaju Melayu dan samping, mengisi minyak kereta saya. Sambil dia sedang mengisi petrol di kereta, saya bertanya “Tak cuti raya ke?” kepada dia.

“Cuti? Kalau cuti pun apa yang boleh buat. Semalam (Hari Raya pertama) pun kerja. Nak buat macam mana, nak cari duit lebih,” jawab dia dengan penuh bersahaja.

Asalkan gaji lumayan

“Keluarga dekat rumah ok ke awak kerja?”, tambah saya lagi.

“Mak ayah saya bolehlah. Kalau saya tak bekerja, macam mana keluarga nak raya?” jawab dia. “Dah berapa lama kerja kat sini? Gaji ok tak?”, tanya saya lagi kepada dia.

“Baru kerja sini Januari lepas. Gaji okeylah dalam RM1,000 campur ‘tips’ bergantung berapa banyak kereta saya isi minyak dalam sehari. Satu kereta lima ringgit. Kalau musim perayaan macam ni memang sedaplah upahnya”.  Dia balas dengan ringkas.

“Sebelum ini kerja mana?”. Saya bertanya lagi. “Sebelum ini ada lah kerja pasaraya. Last kerja dekat satu kedai baju, tapi pasal PKP tahun lepas, kedai tu terpaksa buang pekerja sebab tak dapat bayar gaji. Dah tu, cuba kerja runcit tapi gaji hamba lah bang,  beratus ringgit sebulan mana cukup nak tampung hidup mak ayah”, jawaban abang ini buat saya rasa tersentuh pula.

Lepas minyak kereta saya penuh, pembantu pam tadi meletakkan nozzle pam di tempat asalnya sambil tutup tangki petrol kereta.

“Harap rezeki awak bertambah dan dapat pekerjaan yang lebih baik”, kata saya ketika menghulurkan duit membayar petrol kereta kepada dia.

“Terima kasih bang. Entahlah, ini dah berapa kali tukar kerja tapi gaji tetap macam tu juga, lagi rendah ada lah. Nak jadi rider Grab Food pun tak berbaloi pasal orang kat sini tak ramai guna, kalau ada pun jauh-jauh sana sampai Temerloh”. Saya dengar dengan teliti harapannya itu.

“Bukan apa, nak juga merasa dapat duit banyak, nak bantu mak ayah. Ni pun tengah fikir nak kumpul duit nak kerja kat KL atau ikut member pergi Singapore jadi tukang sapu sampah. Asalkan gaji lumayan, saya sanggup”. Tambah dia lagi.

Setelah habis berborak, saya pun naik kereta untuk pulang ke rumah mertua. Tapi, perbualan tadi agak memberi kesan dalam fikiran saya, apakah seteruk itu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pekerja Malaysia? Gajinya rendah sedangkan banyak tenaga dah dihabiskan untuk memenuhi keperluan majikan dan pasaran.

Pekerja ‘malas’ pemikiran lapuk

Entah kenapa, ini mungkin perbualan biasa. Dan, kebetulan Hari Pekerja juga berlaku sehari sebelum umat Islam menyambut Syawal pada tahun ini.

Ini realiti pekerja di Malaysia. Mereka sanggup bekerja asalkan kadar gajinya lebih baik. Dakwaan pekerja ‘malas’ yang digunakan oleh sekerat pemimpin, kononnya perang psikologi untuk rakyat Malaysia bekerja keras mendapatkan wang, hanyalah permainan politik lapuk dan tidak menguntungkan poket rakyat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pewartaan peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 sebagai tanda penghargaan buat pekerja Malaysia dan tiga lagi inisiatif lain.

Pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) pernah mentertawakan cadangan peningkatan gaji minimum daripada pembangkang sedekad lalu. Ironinya, kini mereka laksanakan perkara yang mereka tertawakan dahulu.

Bukankah kalau kadar gaji minimum ini ditambah sejak awal lagi, golongan pekerja, khususnya berpendapatan rendah, dapat menikmati kehidupan yang lebih baik?

Kumpulan majikan Malaysia pula masih bersikap lama. Setiap kali ada desakan untuk meningkatkan gaji dan jaringan keselamatan sosial pekerja, mereka paling lantang mengkritik. Adakah pasaran ekonomi Malaysia tidak mempunyai sistem yang adil dalam menambah baik haka pekerja dan majikan?

Mungkin ada pekerja malas, tapi ada industri dan majikan juga ‘malas’ bayar gaji yang lebih baik buat pekerja.

Timbul pula persoalan, jika satu hari nanti, anak cucu saya bekerja dan gaji mereka kekal rendah, kemudian majikan masih lagi ‘liat’ memberi gaji yang lebih baik, apakah harapan yang ada untuk rakyat tempatan menyumbang tenaga di negara sendiri?

Harapan pekerja ‘lost generation’

Situasi hari ini amat sukar. Malaysia berhadapan dengan “lost generation” (generasi keciciran) selepas dibadai krisis pandemik yang telah menguji ketahanan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Cerita pekerja pembantu pam stesen minyak di Jerantut ini sebahagian daripada “lost generation”. Generasi yang tidak ada jaminan keselesaan masa depan, ruang mencari pendapatan lebih baik juga kecil, dan terpaksa menanggung beban kehidupan yang kian bertambah.

Jika tidak ada keinginan untuk kerajaan dan majikan untuk membuka ruang yang lebih adil buat mereka dari sekarang, sudah pasti generasi keciciran ini bakal diwarisi rakyat akan datang dan kemajuan negara juga hanya dinikmati golongan beberapa kerat yang menguasai sebahagian besar kekayaan negara.

Apa yang penting, perjuangan untuk hak pekerja dan ekonomi lebih baik perlu diteruskan. Suara kecil ini boleh menjadi gelombang besar yang boleh memberi tekanan kepada pasaran ekonomi bersikap lebih baik dan adil. Mengubah kondisi pekerja juga merawat masalah utama sistem ekonomi negara. – 11 Mei, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen