Afghanistan, Mali, Niger raya hari ini, lapor media


Penduduk Afghanistan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Kabul hari ini. Rakyat di negara itu menyambut Syawal sehari lebih awal berbanding negara lain di dunia. – Gambar EPA, 1 Mei, 2022.

TIGA negara di Asia dan Afrika menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini sementara kebanyakan negara lain mengisytiharkan esok sebagai 1 Syawal, lapor Khaleej Times.

Tiga negara itu ialah Afghanistan, Mali dan Niger, yang semuanya mula berpuasa pada 2 April.

Ketua Mahkamah Agung Afghanistan Maulvi Abdul Hakim semalam mengumumkan anak bulan kelihatan di beberapa tempat di negara itu dan dengan itu 1 Syawal jatuh pada 1 Mei.

Jurucakap kerajaan Taliban Zabehullah Mujahid turut merakamkan ucap selamat melalui Twitter.

Anak bulan Syawal bagaimanapun semalam tidak kelihatan di Arab Saudi yang kemudian menetapkan tempoh berpuasa di negara itu genap 30 hari sehingga hari ini.

Pihak berkuasa agama Islam di Malaysia akan mencerap anak bulan Syawal petang ini di 29 lokasi di seluruh negara, selepas umat Islamnya mula berpuasa sejak 3 April.

Tarikh Aidilfitri kemudian akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam ini melalui radio dan televisyen.

Beberapa hari lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta umat Islam menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya selepas tular dakwaan 1 Syawal jatuh pada Isnin. – 1 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen