Veteran minyak dan gas keturunan Bidayuh dipilih sebagai CEO Petros, kata sumber


Desmond Davidson

Saau Kakok (kiri) bersama-sama Presiden Petronas Carigali Mohd Anuar Taib dan Presiden Samsung Engineering Park Joong-heum dalam satu majlis pada 2013. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Februari, 2018.

VETERAN industri minyak Saau Kakok dijangka mengetuai syarikat Petroleum Sarawak Bhd (Petros) milik negeri Sarawak selepas berbulan pencarian dilakukan untuk ketua pegawai eksekutif, kata sumber industri.

Saau adalah bekas naib presiden projek khas untuk Asia di syarikat minyak berpangkalan di Amerika Syarikat, Hess Corporation adalah individu yang dipilih sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan tidak memohon jawatan itu, kata sumber itu lagi.

Lelaki berusia 64 tahun itu adalah sekumpulan kecil eksekutif minyak dan gas berketerunan Bidayuh yang memegang jawatan pengurusan kanan dalam syarikat petroleum antarabangsa.

Menurut akaun profilenya di LinkedIn, beliau meletak jawatan sebagai naib presiden di Hess hujung tahun lepas.

Ahad lalu, Abang Johari mengatakan beliau sudah menemui “orang sesuai untuk jawatan itu” dan memberikan satu petunjuk- individu dimaksudkan berketerunan Bidayuh dan berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas.

Bidayuh adalah kumpulan etnik kedua terbesar Dayak negeri itu.

Sarawak yang kaya minyak membentuk Petros tahun lepas selepas berdekad tidak gembira dengan hanya 5% pemberian royalti daripada kerajaan Persekutuan. Sarawak mendesak jumlah royalti ditingkatkan kepada 20%.

Kerajaan negeri mengatakan Petros mempunyai “status setaraf” seperti syarikat minyak negara Petronas dan bertujuan melindungi kepentingan Sarawak dalam industri dengan membolehkan penglibatan pembangunan minyak dan gas huluan terutama sekali dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas dalam perairan Sarawak.

Eksekutif minyak dan gas memberitahu The Malaysian Insight yang Saau dipilih untuk jawatan itu kerana beliau yang berasal dari Ulu Padawan adalah individu yang berpengalaman luas dalam industri.

“Ia Saau. Kami sangat positif dengannya kerana dia sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Petros Hamid Budo mengenai jawatan itu sejak beberapa minggu lepas,” kata eksekutif itu.

Saau menyertai Hess pada 2011 sebagai naib presiden pembangunan perniagaan baru global.

Beliau mempunyai Ijazah Kejuruteraan dari Universiti Malaya pada 1977.

Seperti ramai orang Sarawak, beliau menceburi industri minyak dan gas dengan menyertai Shell.

Profilenya di LinkedIn menyenaraikan jawatan terakhirnya di Shell sebagai naib presiden Shell EP International Ltd, jawatan yang disandangnya sejak 2007 hingga 2009.

Di Hess pula, Saau memegang beberapa jawatan termasuklah naib presiden untuk Asia-Pasifik, pengarah di Hess Malaysia dan Thailand Ltd, di Hess Oil & Gas Sdn Bhd dan di Hess (Indonesia-South Sesulu) Limited.

Beliau bekerja di Hess (Indonesia-South Selulu) Ltd berpangkalan di London dari Januari 2014 sehingga 31 Disember 2016.

Wilfred Nissom, bekas gurunya di Dragon Secondary School (kemudian dinamakan SMK Tun Abdul Razak), menyifatkan Saau sebagai “pelajar bijak tetapi pendiam dan rendah diri”.

Beliau juga mengingati Saau sebagai atlet yang mewakili sekolah dalam larian jarak jauh dalam kejohanan antara sekolah.

The Malaysian Insight diberitahu sumber industri yang Saau yang “rendah diri” menyuarakan kebimbangan yang beliau tidak cukup bagus untuk jawatan itu dan meminta Hamid mencari orang lain.

November lalu, Hamid mengatakan Lembaga Pengarah Petros sedang menilai 40 permohonan untuk jawatan yang diiklankan dalam akhbar tempatan dan nasional itu.

Sumber memberitahu, Saau tidak memohon sebaliknya dipilih.

Ahli lain dalam Lembaga Pengarah Petros ialah CEO Bintulu Port Holdings Mohammad Medan Abdullah, CEO Sarawak Energy Bhd Sharbini Suhaili, bekas Pengarah Urusan Shell Gas & Power Malaysia Heng Hock Cheng dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Zuraimi Sabki.

Mereka semua pernah berkhidmat memegang pelbagai jawatan dalam industri minyak dan gas. – 14 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen