Ramai tidak mahu ambil risiko tanpa pelitup muka


Elill Easwaran Aminah Farid

Pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial antara elemen penting SOP bagi mencegah penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

ORANG ramai tetap bercadang untuk memakai pelitup muka bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan sekalipun jika Putrajaya memutuskan untuk menghapuskan mandat wajib menggunakan pelitup muka.

Mandat pelitup muka dilaksanakan sejak Ogos 2020 untuk menghentikan penyebaran Covid-19 tetapi sejak kebelakangan ini terdapat perbincangan mengenai kerajaan memutuskan untuk melonggarkan penggunaan pelitup muka.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selanjutnya ketika negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

The Malaysian Insight menemu bual rakyat Malaysia di seluruh negara untuk mengetahui sama ada mereka masih mahu memakai pelitup muka walaupun mandat itu dihapuskan selepas lebih dua tahun diperkenalkan.

Firas Fisal, 19, pelajar universiti dari Selangor

Firas berkata, dia akan terus memakai pelitup muka kerana berasa lebih selamat jika menggunakannya.

“Saya rasa ini bukan masanya untuk menghapuskan sepenuhnya peraturan penggunaan pelitup muka.

“Secara khusus, kita memerlukan usaha global dalam setiap aspek untuk mengurang dan akhirnya menghentikan penyebaran Covid serta mutasi varian,” katanya.

Firas Fisal dari Selangor berkata, dia akan terus memakai pelitup muka kerana berasa lebih selamat dan terjamin. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

Samuel Roy Koshy, 25, jurutera dari Selangor

Samuel berkata, dia akan memakai pelitup muka di dalam kawasan tertutup yang sesak di mana dia bersentuhan rapat dengan ramai orang.

Dia berkata, memakai pelitup muka satu tabiat yang baik tetapi bersetuju ia tidak harus diwajibkan.

“Sebagai contoh, saya pernah memakai pelitup muka di mana-mana di pejabat tetapi sekarang mungkin saya akan menanggalkannya di meja saya sendiri,” katanya.

Samuel berkata dia akan memakai pelitup muka di dalam kawasan tertutup yang sesak apabila dia bersentuhan rapat dengan ramai orang. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

Farid Hatta Borhani, 34, penulis dari Ipoh

Farid berkata, dia akan tetap memakai pelitup muka tetapi menghargai jika mandat itu dihapuskan.

“Saya menyedari ia membolehkan saya menilai sendiri keadaan dan bukannya perlu memakai pelitup muka walaupun saya rasa keadaan selamat, contohnya di luar rumah, berjalan sendirian, jauh daripada orang ramai,” katanya.

Ushar Daniele, 33, penerbit dari Sabah

Ushar berkata, dia akan memakai pelitup muka di kawasan sesak terutamanya ketika berada di dalam kawasan tertutup.

Ketika ditanya sama ada sudah tiba masanya untuk menamatkan mandat pelitup muka, dia bersetuju kerana penyakit itu sudah berada dalam komuniti dan orang ramai perlu menyesuaikan diri dengannya.

Sadiatul, 27, jurujual dari Melaka

Sadiatul berkata, dia akan memakai topengnya di kawasan luar yang sesak kerana dia tidak mengetahui status kesihatan orang lain.

“Pada pendapat saya, penggunaan pelitup muka ini perlu diteruskan.

“Sudah banyak kelonggaran diberikan oleh kerajaan. Jika pemakaian pelitup muka tidak diteruskan, saya bimbang rakyat Malaysia sukar untuk meneruskan SOP Covid-19 yang diamalkan selama ini,” katanya.

Fadzil Daut, 27, pengurus jaminan kualiti dari Sabah

Fadzil berkata, dia akan memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah.

“Walaupun kerajaan melonggarkan sekatan pelitup muka, saya mungkin akan tetap memakainya buat sementara waktu sehingga saya yakin keseluruhan situasi Covid-19 tidak lagi berbahaya,” katanya.

Fadzil Daut berkata dia akan memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

Intan Shafinaz, 27, pengurus telepemasaran dari Selangor

Intan berkata, dia tetap akan memakai pelitup muka di kawasan sesak.

“Saya berasa lebih selamat dengan pelitup muka kerana ada terlalu banyak kes di luar sana dan saya tidak terkejut jika akan ada varian baharu,” katanya.

Intan Shafinaz berkata dia akan tetap memakai pelitup muka di kawasan sesak sama ada dalam bangunan atau luar kerana dia berasa lebih selamat. – Gambar The Malaysian Insight, 25 April, 2022.

Muthu Raman, 54, pemandu e-hailing dari Johor

Muthu berkata, dia akan tetap memakai pelitup muka kerana dia berpendapat masih belum selamat untuk tidak memakainya.

“Saya sudah melihat orang tidak memakai pelitup muka di tempat yang sesak dan dijangkiti virus jadi saya tidak mahu mengambil risiko.

“Tambahan pula saya bertemu orang ramai setiap hari semasa bekerja dan saya tidak tahu status kesihatan mereka, jadi lebih baik memakai pelitup muka demi keselamatan saya dan keluarga,” katanya.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan tiga langkah utama dalam SOP bagi pencegahan Covid-19 dan akan mengumumkannya tidak lama lagi.

“Tiga langkah itu membabitkan ujian koronavirus serta pemakaian pelitup muka dan imbasan MySejahtera ketika memasuki premis.

“Langkah ini masih dinilai dan dibincangkan di peringkat Kementerian Kesihatan,” katanya. – 25 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen