Mengapa SPRM segera siasat Hakim Nazlan bukan Azam Baki, tanya Guan Eng


Aminah Farid

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendakwa Raja Petra Kamaruddin yang berpangkalan di UK perlu diminta pulang ke Malaysia untuk siasatan walaupun beliau berada dalam buangan di London. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2022.

LIM Guan Eng mempersoalkan tindakan segera agensi antirasuah menyiasat hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tetapi bukan pada ketuanya sendiri yang terlibat dalam skandal perdagangan saham proksi.

“Mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal membuka kertas siasatan segera ke atas Azam Baki kerana (didakwa) melanggar undang-undang dalam pembelian berjuta-juta unit saham?” kata Pengerusi DAP itu yang juga Ahli Parlimen Bagan, dalam satu kenyataan hari ini.

Soalan lain yang dikemukakannya ialah mengapa sumber spekulasi berkaitan Nazlan tidak disiasat.

“Azam menjelaskan siasatan itu adalah sebahagian daripada prosedur SPRM untuk menyiasat setiap kali laporan dibuat.

“Portal Blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK) Malaysia Today menuduh Nazlan mempunyai “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan”.

“Kenapa tiada siasatan jenayah terhadap dakwaan RPK, yang secara konsisten terbukti palsu dan tidak berasas?” tanya Lim.

Lim mendakwa Raja Petra yang berpangkalan di UK perlu diminta pulang ke Malaysia untuk siasatan walaupun beliau berada dalam buangan di London.

“Jika RPK enggan pulang dan jika ada alasan yang mencukupi untuk pertuduhan jenayah difailkan, maka RPK perlu diekstradisi,” tambah Lim.

Sebuah artikel Malaysia Today mendakwa Nazlan memiliki “kekayaan yang tidak dapat dijelaskan”. Hakim tersebut membuat laporan polis berhubung tuduhan itu.

Sebelum ini, timbul spekulasi Nazlan mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menjawab mengenai perkara itu, Marina Mahathir berkata keluarganya berbesar hati mempunyai hakim yang bijaksana sebagai saudara mereka akan tetapi beliau mengesahkan Nazlan bukan orangnya.

Pasukan peguam bekas perdana menteri Najib Razak yang bergelut juga mendakwa Nazlan mempunyai konflik kepentingan dalam siasatan 1MDB.

Sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan RM210 juta kepada Najib kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dikekalkan di Mahkamah Rayuan. Najib kini sedang membuat rayuan keputusan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Azam Baki diletakkan di bawah perhatian kerana memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (dahulunya dikenali sebagai KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai kira-kira RM772,000 ketika itu.

Azam menegaskan saham itu bukan miliknya, tetapi milik abangnya, yang membeli dengan akaunnya. Keadaan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk merungkai kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.

Suruhanjaya itu akhirnya mendapati “tiada bukti muktamad” Azam melanggar Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda). – 24 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen