Adab hormat orang berpuasa bukan ajaran Nabi


Mohd Syazreen Abdullah

KITA sudah di penghujung Ramadan. Puasa mendidik kita bersikap jujur dan manusiawi. Menjadi Muslim bertimbang rasa, empati, toleransi dan saling menghormati – pesan moral.

Shaum atau puasa salah satu ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan. Justeru tasawuf ibadah puasa melengkapi zahir dan batin. Di sisi zahir, seseorang Muslim menjadi lebih berprinsip dalam menjalankan pesan moral di tengah kehidupan.

Manakala dari sisi batin, pesan moral itu tidak terlaksana tanpa renungan rohani yang jujur berkompaskan nilai moral yang benar sekali gus membawa cita kemanusiaan dan pesan kebaikan.

Sebagaimana mafhum kata Rasulullah SAW, tidak ada makna ‘nilai’ ibadah tanpa menyampaikan pesan kebaikan – moral atau akhlak.

Seperti hadis Tirmidzi: “Tunjukkanlah akhlak baik kepada manusia.”

Justeru, tanpa pesan moral, ibadah hanya sia-sia. Puasa sekadar menahan lapar dan dahaga. Begitulah, sedikitnya orang yang berpuasa dan banyaknya orang yang menahan kelaparan.

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.” (Riwayat ibn Majah)

Puasa bukan soal menahan lapar dan minum. Mengejar ibadah malam lailatulqadar. Bukan mengenai bilangan tarawih dan tentang mengkhatamkan al-Quran. Sebaliknya, berpuasa adalah latihan diri (riyadhah) dan di sebalik falsafahnya itu terdapat pesan moral untuk diwujudkan dalam kehidupan sesama manusia.

Nabi menunjukkan kepada kita bahawa banyak manusia mampu menahan lapar dan dahaga tetapi tidak mampu mewujudkan pesan moral puasa tersebut.

Menzalimi orang tidak puasa

Namun pesan moral ini masih jauh pada pengamalan budaya masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Mereka masih tabu melihat situasi makan dan minum di khalayak umum semasa di bulan Ramadan. Atas sikap menghormati dan menjaga adab akhirnya rela menzalimi orang lain yang tidak berpuasa.

Kejahilan sebahagian masyarakat Melayu Islam hari ini seolah-olah mahu memaksa orang bukan Islam dan orang Islam yang uzur untuk menghormati budaya tabu yang jauh tersasar nilai islamik dan pesan moral.

Ironinya, Melayu Islam di Malaysia dari dahulu sehingga kini masih gagal memahami dan menjalankan pesan moral kemanusiaan yang tersemat kukuh di sebalik tuntutan ibadah puasa tersebut.

Lihatlah sikap orang Melayu Islam yang berpuasa tetapi masih bersikap kekerasan dan mempunyai tanggapan buruk terhadap orang Islam yang tidak berpuasa kerana keuzuran tertentu untuk makan dan minum di tempat awam.

Sikap orang Melayu Islam yang berpuasa tetapi memaksa dan menafikan hak dan kebebasan seseorang untuk makan dan minum secara terbuka di bulan Ramadan. Mereka paksa bukan Islam untuk beradab dan menghormati bulan Ramadan dengan tidak dibenarkan makan dan minum di tempat awam, tetapi mereka tidak menghormati hak dan kebebasan orang lain.

Sikap ini melampau batas. Jauh dari intipati pesan moral ibadah puasa!

Ajaran yang mereka anggap islamik ini tidak bertepatan dengan ajaran nabi. Mereka gagal memahami pesan moral ibadah puasa yang menghadirkan sikap manusiawi, bertimbang rasa, toleransi dan berlemah lembut sekiranya terus melarang orang bukan Islam untuk makan dan minum di tempat awam. Termasuk golongan wanita Islam yang dibenarkan tidak berpuasa tetapi menafikan hak mereka untuk makan dan minum di tempat awam.

Jangan menzalimi orang lain dan memaksa mereka mengekori cara pemahaman ibadah yang songsang.

Bukankah hadis nabi menyebut: Anas bin Malik RA pernah ditanya tentang berpuasa ketika safar. Dia menjawab, “Kami sahabat bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Tidak ada seorang pun yang berpuasa berasa aib dengan orang yang berbuka, atau orang yang berbuka berasa aib dengan orang yang berpuasa.” (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata maksudnya: “Kami berperang bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Sebahagian kami berpuasa dan sebahagian lain berbuka. Orang yang berpuasa tidak melihat keburukan dengan orang yang berbuka dan tidak pula yang berbuka memandang buruk orang yang berpuasa. Mereka berpandangan siapa yang ada kekuatan silakan berpuasa, dan itu adalah kebaikan. Dan mereka juga berpandangan siapa yang berasa lemah kemudian berbuka dan itu juga kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Tegas ulama berwibawa

Selain berpandukan sumber pesan moral daripada nabi, teladan para ulama berwibawa pada zaman kini juga turut mengutamakan pesan moral dalam tuntutan ibadah puasa.

Seperti Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed al-Tayyeb mengatakan bahawa melarang orang bukan Islam makan di bulan Ramadan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan bukan daripada ajaran Islam.

Katanya lagi bahawa “Muslim hendaklah menahan diri ketika melihat rakan bukan Islam di tempat kerja makan atau minum atau melihat mereka di restoran di siang hari Ramadan. Jika mereka gagal menahan diri, bagaimana mereka boleh tahan melihat anak-anaknya sendiri makan di siang hari di bulan Ramadan.”

Berikutan itu, orang Islam yang berpuasa tidak sepatutnya mengaibkan, mencaci maki, berpandangan sinis dan bersikap buruk terhadap orang yang tidak berpuasa dan makan di tempat umum.

Benarkanlah mereka makan di tempat umum. Jangan halang mereka. Bukankah agama menyuruh kita bersikap toleransi, empati, timbang rasa dan berlemah lembut dalam menyampaikan pesan kebaikan.

Keluasan tafsiran agama itu memaksa kita memilih jalan lebih damai dan bukan jalan kekerasan.

Justeru, puasa tidak punya apa-apa makna sebelum kita memberikan pesan moral dan perhatian hak yang tulus lagi manusiawi kepada orang-orang yang berhak.

Seperti pesan Saidina Ali: Jadilah kalian di hadapan manusia sebagai bahagian dari manusia itu sendiri. – 23 April, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen