PKR perlu dasar kukuh, pemimpin dipercayai rakyat, kata Adam Adli


Noel Achariam

Adam Adli Abd Halim menyertai PKR pada 16 September lepas bersama 20 aktivis anak muda lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 April, 2022.

PKR perlu ada dasar yang kukuh dan tidak berteraskan personaliti untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Adam Adli Abd Halim.

Sebagaimana pentingnya dasar yang bagus, begitu juga pemimpinnya yang perlu mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat, kata bekas aktivis mahasiswa itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insight menjelang pemilihan PKR bulan depan di mana beliau bertanding jawatan ketua pemuda.

Sejak PKR ditubuhkan pada 1999, parti itu hanya mempunyai dua presiden iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum diambil alih suaminya Anwar Ibrahim selepas dibebaskan daripada penjara.

“Anda boleh ada dasar yang baik, tetapi bagaimana kepimpinan anda? Bagaimanakah anda dapat yakinkan orang ramai untuk sokong anda atau yakin terhadap anda untuk jadi barisan hadapan memimpin negara?

“Itulah yang orang atas pagar mahukan. Kebanyakan orang akan undi berdasarkan dasar parti dan sama ada pemimpin itu boleh dipercayai,” kata Adam dalam wawancara Insight Talk.

Beliau menyertai PKR pada 16 September lepas bersama 20 aktivis anak muda lain.

Adam, 32, berkata sebagai barisan paling hadapan, sayap Pemuda memerlukan pembaharuan dengan mengetengahkan muka baharu yang bukan saja mempunyai cita-cita tetapi tahu peranan mereka.

Penyertaannya itu dibuat ketika sesetengah pihak melihat PKR sebagai beban dalam Pakatan Harapan (PH).

Calon ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim percaya punca kekalahan PKR dalam pilihan raya sebelum ini adalah kerana perpecahan dalam parti. – Gambar EPA, 23 April, 2022.

Bulan lepas, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata PH perlu menambat hati pengundi atas pagar dan menangani kesusahan rakyat jika mahu memberi impak pada PRU15.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, jika isu rakyat tidak diperbetulkan, maka PH akan ketinggalan di belakang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kempen kita sekarang untuk tambat pengundi atas pagar. Kita perlu tangani isu yang dihadapi rakyat,” katanya.

Adam percaya punca kekalahan PKR dalam pilihan raya sebelum ini adalah kerana perpecahan dalam parti.

“Setiap orang ada perbezaan pendapat. PKR bukan berdasarkan personaliti tetapi parti yang ada dasar dan asas perjuangan.

“Orang ramai juga ingin tahu sama ada mereka boleh percayakan mereka yang benar-benar sampaikan dasar tersebut.

“Memandangkan sudah hampir PRU15, rakyat akan menilai kita dan kita perlu tunjuk barisan yang bersatu.”

Semasa pilihan raya Johor pada 12 Mac, BN menang 40 daripada 56 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Gabungan PH dan PKR menang 13 kerusi, manakala PN menang tiga kerusi.

Tambah Adam rakyat akan menilai BN dan PH melalui peti undi.

“Ini juga termasuk pengundi Undi18 yang membentuk sebahagian besar proses pilihan raya.” – 23 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen