Pakatan perlu tambat hati pengundi atas pagar, kata Rafizi


Noel Achariam

Bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan Pakatan Harapan terutamanya PKR perlu memenangi hati pengundi atas pagar dan tangani isu kesusahan dihadapi rakyat jika mahu memberi impak pada pilihan raya umum ke-15 nanti. – Gambar tangkap layar Facebook, 20 Mac, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) perlu menambat hati pengundi atas pagar dan menangani kesusahan rakyat jika mahu memberi impak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Rafizi Ramli.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, jika isu rakyat tidak diperbetulkan, maka PH akan ketinggalan di belakang belakang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

“Kempen kita sekarang untuk tambat pengundi atas pagar. Kita perlu tangani isu yang dihadapi rakyat,” katanya semasa ceramah Terpaling Terus Terang di Facebook malam tadi.

Beliau juga berkata kembalinya dalam politik bagi membantu PKR selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya negeri Johor 12 Mac lepas.

“Keputusan untuk kembali sebab apa yang berlaku di Johor (pilihan raya). Sekarang, sudah tiba masanya untuk masuk dan tolong untuk PRU15,” katanya.

Pada 15 Mac, Rafizi mengumumkan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti bulan depan, kembali aktif dalam politik selepas parti itu kalah teruk dalam tiga pilihan raya negeri.

Naib presiden parti itu mengambil cuti sabatikal pada 2018, selepas dihadapkan ke mahkamah sehingga menyebabkan beliau tidak dapat bertanding PRU14.

Rafizi berkata, PKR tidak boleh berganjak daripada kesusahan rakyat.

“Kita parti yang menyuarakan isu rakyat, kalau kita tidak berhati-hati, kita akan berpisah dengan rakyat.

“Sebelum 2018 kita dilihat membangkitkan isu rakyat. Tetapi, selepas kalah (Langkah Sheraton) cakap-cakap cara untuk kembali ke Putrajaya.”

Rafizi berkata, rakyat mahukan pembangkang yang kuat, supaya apabila gabungan itu bersatu mereka boleh menang kalahkahn BN.

“Kita tidak boleh lari daripada hakikat yang kekuatan kita datang daripada membangkitkan isu yang dihadapi rakyat.

“Rakyat kini mahu lihat perbezaan antara setiap parti. Pembezaan itu penting.”

Mengenai bagaimana Presiden PH atau PKR Anwar Ibrahim boleh mengukuhkan parti, Rafizi berkata sejak 2016 hingga kini, apa yang rakyat mahukan ialah perubahan dan kebajikan mereka terjaga.

“Mereka (rakyat) tidak peduli tentang isu lain kecuali ekonomi dan kesejahteraan mereka.

“Cara untuk menang ialah dengan melaksanakan dasar mesra rakyat. Kita perlu yakinkan pengundi atas pagar jika mereka pilih kita, maka kehidupan mereka akan lebih baik.”

Beliau berkata cara terbaik untuk menarik pengundi adalah dengan menggunakan formula sebelum 2018 iaitu menyelesaikan isu rakyat.

“Kos sara hidup, kenaikan harga makanan… dasar mesti ada untuk selesaikan semua isu ini. Apakah yang boleh dibuat oleh mana-mana pihak untuk membawa mereka keluar daripada masalah ini?”

Nurul Izzah Anwar yang juga sebahagian daripada panel itu berkata adalah tidak adil kerajaan PH tumbang dalam tempoh 22 bulan berikutan pembelotan.

“Tetapi selepas itu, rakyat yang terjejas. Kita kena dengar suara rakyat. Ahli politik mesti dengar cakap rakyat.”

Mengenai perkara yang boleh dibuat PKR untuk menarik pengundi, Nurul berkata cabaran utama yang mereka hadapi dalam pilihan raya Johor ialah komunikasi dengan rakyat.

“Berkomunikasi dengan mesej mudah dan jelas. Apa yang kurang adalah (komunikasi) melalui media sosial.

“Mesej itu harus jelas, apa yang kami tawarkan untuk membantu kesejahteraan rakyat. Ia sukar.”

Kemenangan BN dalam pilihan raya Johor menyaksikan gabungan itu menggondol 40 daripada 56 kerusi untuk direbut.

BN menewaskan PH, yang cuma menang 11 kerusi, di mana PKR, yang menggunakan logo sendiri, hanya menang satu. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen