Tiga asas untuk Pakatan bangkit semula


Fakhrurrazi Rashid

Ada pemimpin PH mendakwa gabungan tersebut akan kalah dua pusingan PRU untuk ke Putrajaya kerana rakyat masih trauma dengan kerajaan 22 bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2022.

ENTAH kenapa sudah hampir dua tahun berlalunya rampasan kuasa Langkah Sheraton, kemudian kalah di dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, Pakatan Harapan (PH) masih belum mendapat rentak untuk kembali semula berkuasa di Putrajaya.

Ada pemimpin PH mendakwa gabungan tersebut akan kalah dua pusingan pilihan raya umum (PRU) untuk pergi ke Putrajaya. Hujah ini dikatakan realistik atas dakwaan rakyat masih trauma dengan kerajaan 22 bulan.

Segelintir pemimpin PH pula menyangah kenyataan ini kerana tidak mencerminkan pendirian gabungan secara menyeluruh.

Bak kata orang utara, PH ini “pi mai, pi mai, tang tu juga”. Gunalah formula apa sekalipun, PH akan kalah. Sampai ada yang sebut, kenyataan mendakwa PH akan kalah dalam dua PRU itu seperti ubat – pahit untuk ditelan, tetapi baik untuk merawat penyakit.

Tetapi, bagaimana Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan isu integriti, malah Perikatan Nasional (PN) yang terang-terang khianati mandat rakyat, masih bersungguh-sungguh untuk menang PRU15 nanti?

Apakah PH salah ambil ubat? Dan ubat mujarab apa BN dan PN makan?

Kembali kepada rakyat

Suka atau tidak, dalam keadaan yang bercelaru ini, tugas penting PH adalah mencari jalan keluar daripada kemelut untuk menjadi gabungan yang lebih baik.

Untuk menang PRU, usahanya bermula dari sekarang. Cabaran yang bakal PH hadapi dalam PRU15 dan seterusnya perlu disusun dengan cermat, dengan asas yang kukuh demi mengatasi masalah yang akan datang kemudian.

Apa asasnya?

Pertama, kembali kepada pangkuan rakyat. PH seolah-olah hilang mesej yang jelas untuk menarik sokongan pengundi atas pagar, khasnya golongan pekerja dan belia, dalam PRN Melaka dan Johor.

Tawaran kestabilan politik daripada BN lebih menarik perhatian golongan pekerja. Ia senada dengan nilai kehidupan mereka untuk mencipta kestabilan hidup selepas terjejas teruk akibat krisis pandemik.

Segelintir golongan atas pagar ini cenderung memilih PN sebagai alternatif kepada BN yang terpalit dengan isu integriti dan PH yang sering bertelagah. Secara mudahnya, PH hilang imej kesederhanaan dan gagal meyakinkan pengundi atas pagar.

Gerakan “Ayuh Malaysia” yang dipelopori Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dilihat mampu memberi nafas baharu untuk PH menyantuni golongan pekerja dan pengundi atas pagar.

Namun, gerakan ini dilihat menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia tidak dikoordinasi dengan parti PH, bergerak secara silo, dan hadir pada saat pemilihan parti.

Sejauh manakah Ayuh Malaysia ini mampu mengatasi tawaran kestabilan politik daripada BN, imej “Abah” daripada PN, malah propaganda “Bossku” Najib Razak yang sudah berakar dalam kalangan pengundi atas pagar dan terbukti memenangkan parti ini dalam pilihan raya?

Hakikatnya, PH perlu sedar pengundi pada PRU15 nanti adalah mereka yang cukup terkesan dengan krisis pandemik dan politik yang melanda negara. Fokus perlu diberikan untuk mendekati dan menawarkan jalan penyelesaian realistik supaya kehidupan rakyat kebanyakan bertambah baik.

Santuni Undi18

Kedua, PH perlukan strategi dinamik dalam menyantuni Undi18. Meskipun PH boleh diberi pujian dengan usaha melaksanakan Undi18, tetapi PH hilang sentuhan magis dengan kumpulan ini.

Ia terbukti apabila BN menang tujuh daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor yang didakwa mempunyai bilangan pengundi terbanyak berusia 18 hingga 20 tahun. PH dan Muda hanya menang tiga daripadanya iaitu Perling, Bukit Batu, dan Puteri Wangsa.

Ini satu tamparan hebat buat PH untuk menawan hati pengundi muda. PH harus sedar, rata-rata pengundi Undi18 masih berada di kawasan dan mudah keluar mengundi berbanding belia bekerja berusia 21 tahun ke atas. Ini akan memberi nilai tambah kepada undi PH bagi mengatasi isu pengundi tidak pulang mengundi.

Bukan sekadar media sosial yang perlu dikuasai PH, tetapi usaha menggerakkan sukarelawan dan jentera parti dibarisi tenaga anak muda amat mustahak bagi membentuk pasukan PH yang dinamik demi memenangi pilihan raya di setiap kerusi ditandingi.

Ketiga, PH juga perlu bersedia menempuhi sistem pelbagai parti (multi-party system). Lahirnya pelbagai parti politik di Malaysia, terutama sekali selepas Langkah Sheraton, telah memaksa parti politik menukar pendekatan berbeza dalam memenagi pilihan raya.

Ia bukan soal pertandingan tiga penjuru, tetapi pelbagai penjuru sehingga boleh mencecah berbelas penjuru. Situasi ini memberi kesan kepada pengundi, khususnya Semenanjung, yang masih tidak biasa melihat pertandingan pelbagai parti.

Hidangkan tawaran enak buat rakyat

Sistem ini memerlukan PH lebih tersusun dalam strategi “electoral pack” dan menawarkan dasar untuk memperoleh undian pengundi parti lawan dan pengundi atas pagar. Jika mesej dan tawaran PH tidak jelas atau kurang menyakinkan, maka perubahan “swing” pengundi terhadap parti lawan akan berlaku meskipun PH kalah dengan majoriti tipis.

Sistem pelbagai parti selalunya akan menjadi punca Parlimen tergantung kerana parti politik tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. Di sinilah, PH perlu lebih terbuka dan cermat dalam memilih gabungan atau parti membentuk kerajaan sekiranya parlimen tergantung, sama ada di peringkat negeri atau pusat, selepas pilihan raya.

Faktanya, politik adalah permainan persepsi. Apa yang disajikan kepada rakyat, itu yang mereka ambil. Rakyat hanya ingin tahu “makanan” atau tawaran yang dihidangkan kepada mereka, bukan pergaduhan yang berlaku di dapur parti politik. Itu realiti sebenar yang PH perlu hadam.

Jika PH komited kembali mendampingi rakyat, tentunya rakyat juga bakal meletakkan PH semula di Putrajaya. Jika tidak, PH terpaksa berhadapan dengan tempoh sukar untuk mendapatkan keyakinan rakyat lebih tiga kali PRU.

Persoalannya, sejauh manakah pemimpin PH yakin untuk menang PRU15 dan seterusnya? Atau masih lagi mahu jadi pembangkang? – 20 April, 2022.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen