Barat guna cicak intip program nuklear, kata pegawai tentera Iran


“Kami dapati yang kulit makhluk itu menarik gelombang atom selain kenayataan yang mereka adalah pengintip yang mahu mencari di mana di Iran ini kita simpan uranium, dan di mana kita terlibat dengan aktiviti berhubung (program) atom,” kata bekas ketua staf angkatan tentera Iran Hassan Firuzabadi. – Gambar AFP, 13 Februari, 2018.

PENGINTIP Barat menggunakan cicak yang mampu “menarik gelombang atom” untuk mengintip program nuklear republik Islam itu, kata bekas ketua staf angkatan tentera Iran.

Hassan Firuzabadi, penasihat tentera senior kepada pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei berkata demikian sebagai respons terhadap soalan media tempatan berhubung penahanan beberapa pejuang alam sekitar Iran.

Katanya, beliau tidak tahu menahu mengenai kes itu, namun beliau menekankan yang pihak Barat kerap menggunakan pelancong, saintis dan pejuang alam sekitar untuk mengintip Iran.

“Beberapa tahun dahulu, ada individu datang ke Iran untuk mengumpul dana bagi Palestin. Kami curiga dengan jalan (cara) yang mereka guna itu,” katanya kepada agensi berita reformis ILNA.

“Mereka ini mempunyai pelbagai spesis reptilia padang pasir seperti cicak, sumpah-sumpah… Kami dapati yang kulit makhluk itu menarik gelombang atom selain kenayataan yang mereka adalah pengintip yang mahu mencari di mana di Iran ini kita simpan uranium, dan di mana kita terlibat dengan aktiviti berhubung (program) atom,” katanya.

Komen Firuzabadi itu muncul selepas pejuang alam sekitar Kavous Seyed Emami mati dalam penjara selepas ditahan bersama beberapa anggota NGO hidupan liarnya bulan lalu.

Firuzabadi berkata agensi pengintipan Barat sentiasa “gagal setiap kali.” – AFP, 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen