PARA ahli akademik terkemuka Iran mendesak presiden republik Islam itu Hassan Rouhani menjawab kenapa pejuang alam sekitar terkenal yang dipenjara didakwa “bunuh diri” dalam penjara oleh pihak berkuasa.
Pada Jumaat lalu, ahli keluarga Kavous Seyed Emami profesor Universiti Imam Sadegh yang juga pengasas Yayasan Warisan Hidupan Liar Parsi diberitahu yang Emami telah membunuh diri dalam penjara, dua minggu selepas ditangkap.
Pada Ahad, pegawai kehakiman mendakwa beliau telah mengaku bersalah atas jenayah pengintipan, selain tujuh lagi rakan NGO hidupan liarnya turut dipenjarakan.
“Berita kematian Dr Kavous Seyed Emami sangat mengejutkan komuniti saintifik dan aktivis alam sekitar negara ini,” tulis kumpulan terdiri daripada empat persatuan akademik melalui surat terbuka kepada presiden Iran.
“Sebagai seorang profesor terkemuka, saintis terkenal dan juga askar veteran… beliau adalah seorang yang berakhlak tinggi dan insan yang beretika,” kata surat itu.
“Berita dan khabar berkaitan penahanan dan kematian beliau sangat susah untuk dipercayai.”
Surat itu diterbitkan oleh empat persatuan akademik yang terdiri daripada sains politik, sosiologi, kajian keamanan dan kajian budaya yang rata-ratanya datang dari unversiti terulung Iran.
Ditujukan kepada Rouhani, mereka menulis: “Harapan kami supaya awak mengambil langkah segera dan efektif secara dan menyiasat kes ini dengan serius… dan jadikan institusi yang terlibat bertanggungjawab (dalam kejadian ini.)”
Salah seorang penasihat Rouhani, Hesameddin Ashena, dalam Twitter-nya menulis bahawa kehakiman, yang dipengaruhi oleh penganut konservatif yang pernah bertelagah dengan kerajaan yang lebih sederhana patut menyelia kejadian ini dengan rapi.
“Para hakim, pendakwa, pegawai dan penyiasat tidak bersalah mahupun bebas dari sebarang prasangka,” tulis Ashena.
“Sepertimana pentingnya untuk menyelia cabang eksekutif, begitu juga pentingnya untuk menyelia urusan mereka dengan pihak tertuduh.
“Seorang Mortazavi dah cukup untuk negara ini. Jangan ada lagi seorang (sepertinya),” tambah Ashena, merujuk kepada bekas pendakwa Tehran Said Mortazavi yang didakwa kerana menyebabkan kematian pembantah yang ditahan ketika demonstrasi besar-besaran pada 2009.
Ditanya mengenai kes Emami hari ini, jurucakap kehakiman Gholamhossein Mohseni Ejeie memberitahu agensi berita reformis ILNA: “Saya dengar beliau bunuh diri tetapi setakat ini saya tak ada maklumat lengkap mengenainya. Kejadian ini masih dalam siasatan.” – AFP, 12 Februari, 2018.
Komen