PERSIAPAN menjelang temasya Sukan Asia Tenggara ke-31 (Sukan SEA 31) kini di peringkat akhir, menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Sukan perbandaran, Tran Thi Van Anh.
Hanoi akan menganjurkan 18 acara di 15 lokasi terpilih dan proses menaik taraf kemudahan sukan telah dijalankan mengikut jadual, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Daerah Dan Phuong telah menyiapkan kemudahan untuk acara gimnastik yang sebelum ini digunakan sebagai pusat rawatan Covid-19.
Kerajaan juga berusaha memastikan perkhidmatan logistik, pengangkutan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berjalan lancar.
Kerjasama dengan Kementerian Keselamatan Awam dan Pengangkutan turut diadakan bagi menjamin keselamatan, kebajikan dan kelancaran perjalanan untuk delegasi sempena mempromosikan Hanoi sebagai destinasi menarik, selamat dan mesra.
Sukan SEA 31 dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei di Hanoi dan 11 bandar dan wilayah lain.
Vietnam menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas 2003.
Temasya itu akan menampilkan lebih 40 sukan, dan 526 acara dengan kehadiran kira-kira 10,000 atlet dan pegawai dari 11 negara Asia Tenggara. – Bernama, 16 April, 2022.
Komen