Nurul Izzah realistik ramal Pakatan perlu 10 tahun menang PRU, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Bekas naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata PH perlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau dua pilihan raya umum untuk kembali menawan Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2022.

PENDAPAT Nurul Izzah Anwar yang Pakatan Harapan (PH) memerlukan tempoh sedekad untuk kembali berkuasa adalah penilaian realistik berdasarkan situasi politik semasa negara, kata penganalisis.

Dasar PH yang lebih terbuka menghalang ramai orang Melayu konservatif yang masih terpengaruh dengan politik berasaskan kaum, kata mereka.

Mereka juga berkata kekalahan PH dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor menunjukkan gabungan itu berada pada tahap paling lemah, tetapi ia bukan secara automatik bermakna Barisan Nasional (BN) dan Umno lebih kuat.

Kepimpinan ketua pembangkang Anwar Ibrahim juga bukan satu-satunya punca kegagalan gabungan itu, tambah mereka.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata ideologi PH sukar diterima oleh orang Melayu.

“Walaupun terdapat transformasi digital, ciri politik Malaysia masih lagi mengenai kaum dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sukar untuk PH yang lebih terbuka dari segi ideologi diterima oleh majoriti rakyat. Rakyat masih mementingkan bangsa dan agama.

“Orang Melayu masih memberi reaksi buruk apabila kita bercakap tentang DAP. Hanya 10% yang menerima manakala 90% masih konservatif.

“Itulah sebabnya beliau berkata ia akan mengambil masa 10 tahun lagi untuk mengubah senario politik.”

Ketika temu bual bersama Sinar Harian, bekas naib presiden PKR itu berkata PH memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi atau dua pilihan raya umum untuk kembali menjadi kerajaan.

Nurul Izzah, seperti Rafizi Ramli, berkata gabungan itu perlu menjadi kumpulan pembangkang “bermaruah” dan menawarkan pengundi sesuatu yang berbeza tetapi lebih praktikal daripada yang dilakukan pada 2018.

Beliau berkata tidak akan ada penyelesaian segera untuk PH membina semula kepercayaan orang ramai, sambil menegaskan ketidakupayaan gabungan itu untuk menunaikan janji manifesto 2018 sebagai faktor penting.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata komen Nurul Izzah adalah realistik.

“Beliau betul apabila berkata PH lebih lemah, tetapi BN juga tidak semestinya semakin kuat,” katanya.

Tunku Mohar berkata PH juga amat memerlukan agenda dan dasar baharu untuk dikemukakan kepada rakyat.

“Beliau juga mungkin betul apabila mencadangkan PH perlu mempamerkan produk berbeza, sesuatu yang gagal dilakukan dalam percubaan pertamanya,” katanya.

“Ia mempunyai banyak perkara meyakinkan untuk dilakukan. Orang ramai nampak selesa dengan politik lama kerana politik baharu yang diunjurkan PH agak kabur.”

Pada PRU14 dan dalam dua pilihan raya negeri yang lalu, PH mengetengahkan isu rasuah untuk meraih undi.

Walaupun taktiknya menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bekas perdana menteri Najib Razak pada PRU14 memberikannya kemenangan bersejarah, ia gagal di Johor dan Melaka apabila penganalisis berkata orang ramai lebih prihatin terhadap isu rakyat.

Oh Ei Sun, seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata kemenangan PH buat kali pertama adalah kerana nasib dan strategi Umno yang gagal.

Bagaimanapun, nasib seperti itu tidak akan berulang pada pilihan raya umum akan datang.

“Hakikat PH dapat menawan Putrajaya pada 2018 adalah kerana beberapa faktor, seperti 1MDB dan, yang lebih penting, Umno menggunakan strategi yang salah dengan cuba memecahbelahkan undi PH menggunakan PAS. Tetapi sebaliknya, PAS membahagikan undi Umno,” kata Oh.

“Anda boleh katakan PH bertuah kerana menang PRU 2018 dan nasib seperti itu tiada lagi kerana sekarang, orang Melayu sudah ‘jaga’.”

Beliau berkata kebanyakan orang Melayu yang mengundi PH pada PRU14 menyedari bahawa gabungan itu mungkin tidak benar-benar mengambil berat mengenai mereka.

“Mereka sedar di bawah PH, hak dan keistimewaan mereka mungkin tidak dilindungi secukupnya. Oleh itu, mereka kembali kepada Umno,” katanya.

“Ketakutan seperti itu tidak akan surut untuk masa yang lama.” – 15 April, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen