Petisyen #FreeSamKeTing raih lebih 300,000 tandatangan dalam kurang 24 jam 


Aminah Farid

Sam Ke Ting dijatuhi hukuman penjara semalam kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan lapan kematian.– Gambar Twitter, 14 April, 2022.

PETISYEN dalam talian yang menggesa pembebasan Sam Ke Ting, yang dijatuhi hukuman penjara semalam kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan lapan kematian, memperoleh lebih 300,000 tandatangan dalam masa kurang 24 jam.

Seorang individu bernama Wan Junaida memulakan petisyen #FreeSamKeTing di Change.org, sedang mencari 500,000 tandatangan.

Setakat pukul 1 tengah hari ini, pertisyen itu memperoleh 323,442 tandatangan.

Semalam, mahkamah tinggi di Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap kerani itu kerana memandu secara melulu berhubung kematian lapan remaja menaiki basikal yang diubah suai, atau “basikal lajak”, lima tahun lalu.

“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baharu Sam, yang mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini.

“Kegagalan ibu bapa kepada bakal mat rempit menyebabkan anak mereka berkeliaran di jalan raya dengan basikal diubah suai atau “basikal lajak” pada pukul 3 pagi.

“Kami tidak menerima penghakiman ini, dan berusaha agar hukumannya dibatalkan, supaya tidak merompak masa depan cerah seorang warganegara Malaysia yang muda dan tidak bersalah,” kata Wan di laman petisyen berkenaan.

Hakim Abu Bakar Katar memerintahkan Sam Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara bermula semalam. – 14 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen