Kerjasama elak bazir makanan semasa Ramadan, kata dapur amal


Aminah Farid

Dapur amal berkata penderma harus mengetahui keperluan mereka yang berada di jalanan dan bukannya memberi makanan secara "membuta tuli" bagi elak pembaziran makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

DAPUR amal menggesa orang ramai untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengagihkan bantuan makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur pada bulan Ramadan bagi mengelakkan lebihan makanan berlaku yang dilihatnya setiap tahun.

Walaupun ramai yang datang dengan niat yang baik untuk membantu golongan memerlukan dan gelandangan, adalah penting untuk melakukannya secara strategik kerana Ramadan adalah salah satu bulan di mana umat Islam sepatutnya mengamalkan sikap berhati-hati apabila berlaku keterlaluan dalam apa jua perkara, kata mereka.

Penyelaras Dapur Jalanan Radzi Razak memberitahu The Malaysian Insight bahawa pada 2019 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan kira-kira 4,005 tan makanan boleh dimakan dibuang di tapak pelupusan sampah setiap hari sepanjang Ramadan.

Dari segi pengusaha dapur amal beliau berkata mereka akan melihat peningkatan orang ramai yang menderma makanan kepada golongan terpinggir, memerlukan dan gelandangan dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata pembaziran makanan yang berulang setiap tahun turut menghalang Dapur Jalanan daripada mengagihkan bantuan makanan sepanjang Ramadan.

“Kami sudah bertahun-tahun bersama rakan NGO kami memerhatikan trend ‘penderma bermusim’ yang menyumbang kepada pembaziran makanan.

“Sehingga ia diberikan tanpa pertimbangan kepada orang yang menerimanya kerana ia dilakukan tanpa usaha wajar atau perancangan dan pengurusan awal oleh individu atau kumpulan yang menghulurkannya,” katanya.

Radzi berkata penderma harus mengetahui keperluan mereka yang berada di jalanan dan bukannya memberi makanan secara “membuta tuli”.

Beliau juga menyarankan agar mereka berhubung dengan NGO atau dapur amal yang beroperasi sepanjang tahun untuk mengetahui tentang komuniti terpinggir tempatan.

Beliau seterusnya berkata adalah sukar bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk campur tangan kerana ia boleh menjejaskan kerja NGO dan individu sedia ada.

Sebaliknya Radzi berkata DBKL boleh membantu menghubungkan orang ramai kepada NGO jika mereka berminat untuk membantu.

Dapur amal menggesa orang ramai bekerjasama dengan mereka jika mahu mengagihkan makanan kepada gelandangan bagi mengelakkan pembaziran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2022.

Sindiket di tempat kerja

Seperti Radzi Justin Cheah dari Kechara Soup Kitchen Society (KSK) juga berkata jika orang ramai ingin menyumbang bagi tujuan amal mereka harus bekerjasama dengan NGO tempatan bagi mengelak pertindihan.

“Ini adalah pembaziran sumber dan ia menjadikan kerja kami lebih sukar apabila berlaku pertindihan.

“Apabila orang melihat pembaziran akan wujud salah tanggapan bahawa memandangkan gelandangan diberi makan dengan baik, maka tidak perlu lagi membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata terdapat beberapa penyedia Good Samaritan yang enggan bekerja dengan dapur amal.

“Ramai yang lebih suka melakukannya sendiri dan kebanyakan masa, malangnya mereka adalah badan amal on-off,” katanya.

Beliau berkata KSK seperti NGO lain sudah berkhidmat secara konsisten sejak beberapa tahun lalu dan matlamatnya adalah untuk membina hubungan dengan gelandangan dan mencari penyelesaian untuk menyingkirkan mereka di jalanan.

“Apa yang kita minta daripada orang ramai adalah untuk bekerjasama. Buat masa ini kita hanya memberi makanan yang tidak dimasak supaya walaupun orang lain memberi makanan panas, rakan-rakan jalanan dapat mengekalkan makanan kering yang kita berikan,” katanya.

Sementara itu Munirah Hamid dari Pertiwi berkata ketika ada kumpulan memberi makanan ada yang memberi wang zakat yang membuka ruang kepada sindiket mengambil kesempatan.

“Sindiket akan mengambil kesempatan dan membawa kanak-kanak dari mana-mana untuk menunggu di kawasan panas.

“Mereka berlari ke arah kereta, mengetuk tingkap, meminta wang,” katanya.

Munirah berkata orang ramai perlu mengingatkan diri mereka bahawa mereka juga mendapat ganjaran pahala sepanjang tahun tanpa dosa pembaziran. – 12 April, 2022.

Mereka yang berminat boleh menghubungi dapur amal yang disebut dalam artikel di sini:

Dapur Jalanan
Kechara Soup Kitchen
Pertiwi Kitchen 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen