Rasuah dan cabaran mengurus ekonomi


PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak lagi boleh bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI) sebagai enjin pertumbuhan ekonominya.

Dr Mahathir mencadangkan agar perniagaan tempatan perlu berkembang menjadi industri besar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Pada masa sama, negara kini berdepan dengan cabaran dan persaingan sengit dari negara lain yang menawarkan insentif buruh dan cukai yang lebih murah berbanding Malaysia.

Pendapat Dr Mahathir ini selari dengan laporan Tinjauan Ekonomi 2020 oleh Kementerian Kewangan yang menyebut: “Perindustrian memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang disumbangkan dengan ketara daripada FDI. Namun begitu, persaingan yang semakin meningkat di kalangan negara serantau menyebabkan trend penurunan FDI.”

Ujian kepada ekonomi Malaysia

Ekonomi Malaysia pada umumnya telah lama terdedah dengan industri pembuatan baik yang berskala besar mahupun sederhana. Namun lebih 10 tahun kebelakangan ini fokus untuk mengukuhkan sektor pembuatan dilihat tidak memadai kerana fokus dan keghairahan kerajaan lebih ditumpukan untuk mendapatkan FDI menerusi pelbagai sektor yang lain. 

Persaingan mendapatkan FDI seakan-akan menjadi satu-satunya jalan keluar dan penanda aras kekuatan dasar dan ekonomi Malaysia. Namun, pandemik Covid-19 benar-benar menguji daya tahan ekonomi negara. Kini, pelaburan-pelaburan yang ada di Malaysia, mula mengalir keluar ke negara jiran.

Berdasarkan laporan The Straits Times, aliran FDI ke dalam negara bagi tahun 2020 jatuh sehingga 68 peratus kepada AS$2.5 billion, dan yang paling teruk dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara. Ia lebih teruk berbanding Singapura yang jatuh 37 peratus, Indonesia 24 peratus dan Vietnam 10 peratus. 

Kesan kepada sektor pembuatan

Dalam hujah lagi, Dr Mahathir berkata pembuatan merupakan bidang yang paling penting untuk mengetahui bagaimana sesuatu produk itu dibuat. (Teknologi) automasi dan robotik telah diperoleh dan dipasang di barisan pengeluaran tempatan.

Ini bermakna, sudah sampai masanya untuk kerajaan bergerak bersama rakyat memberi tumpuan yang lebih dalam sektor pembuatan berasaskan teknologi yang bukan sahaja mampu menggerakkan ekonomi dan membuka peluang tenaga kerja tempatan malah mampu meningkatkan eksport ke pasaran luar negara dan kesannya, pergantungan kepada produk import dapat dikurangkan.

Namun usaha ini pastinya banyak cabaran. Ia akan menguji kesungguhan kerajaan dalam belanjawan dan sejauh mana iltizam kerajaan untuk memastikan tatakelola dasar ini benar-benar cekap dan berintegriti.

Integriti ekonomi 

Integriti dalam perniagaan adalah penting untuk kejayaan kerana integriti membolehkan hadirnya kepercayaan; tanpa kepercayaan, perniagaan tidak dapat dijalankan apatah lagi berkembang. 

Hari ini, integriti menjadi topik yang kurang popular kerana rakyat percaya bahawa perniagaan telah menjadi sebahagian daripada politik – iaitu rasuah.

Persepsi ini semakin ketara apabila beberapa hari yang lalu kita sekali lagi dikejutkan dengan laporan penangkapan pegawai-pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana kes rasuah yang bernilai RM2.3 billion.

Kes-kes seperti ini hanya menambah panjang senarai skandal penyelewengan projek-projek kerajaan – NFC, Tabung Haji, Felda, 1MDB dan banyak lagi. Ia menjadi nanah atas luka yang sedang kita tanggung hari ini.

Ketika ini kita dapat lihat dengan jelas bagaimana harga barang-barang kawalan untuk keperluan pengguna (rakyat) meroket naik. Keadaan ini bukan sahaja berpunca daripada peningkatan kos bahan bakar malah ia turut disumbang oleh faktor kecekapan kerajaan dalam memantau prestasi import bahan-bahan keperluan.

Bukan sahaja daging kita import kerana kekurangan bekalan tempatan, malah bahan makanan untuk haiwan ternakan tempatan juga kita import. Rantaian import ini menyebabkan kita tidak berupaya mengawal harga bekalan-bekalan ini secara sistematik. Akhirnya rakyat yang menanggung beban kos hidup yang tinggi. 

Justeru, cadangan Dr Mahathir perlu diambil serius oleh kerajaan khususnya menteri-menteri kanan yang sedang mengurus ekonomi negara.

Rasuah dan iltizam

Pelan Anti Rasuah Nasional atau National Anti-Corruption Plan (NACP) 2019-2023 telah dilancarkan oleh Dr Mahathir ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan. Ini merupakan satu komitmen penting yang digerakkan oleh Dr Mahathir ketika itu. 

Ia menjadi penanda aras betapa seriusnya kita mahu membanteras amalan rasuah hingga ke akar umbi.

Namun setelah tumbangnya kerajaan PH, pelan-pelan NACP ini seakan beku tidak bergerak. 

Adakah ini bermakna, agenda memerangi rasuah tidak menjadi perkara pokok kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob?

Selepas jatuhnya kerajaan PH pada awal tahun 2020, indeks rasuah yang dilaporkan oleh CPI-Transparency International semakin merudum setiap tahun. Dari tangga 51 pada 2019, jatuh tangga 57 pada 2020 dan jatuh lagi di tangga 62 pada 2021. 

Persoalannya, dengan adanya pelan NACP, mengapa keadaan tidak bertambah baik, malah semakin merosot?

Kita harus berani bertanya dengan jujur kepada diri kita sendiri, apa yang kita sedang lakukan kepada negara ini? 

Yang memimpin negara ini orang Melayu dan Islam, adakah mereka ini tidak jujur? – 11 April, 2022.

* Mahdzir Ibrahim, ahli Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen