Perang dan ekonomi


Hishamuddin Rais

PERANG Ukraine atau “Special Operation – operasi istimewa Putin” yang bermula pada 24 Februari 2022 telah masuk ke bulan kedua. Kota-kota Ukraine telah dimusnah oleh ledakan bom dari udara, kereta kebal dan kapal selam yang melancarkan peluru berpandu.

Mengikut banci tahun 2020 penduduk Ukraine berjumlah 44.13 juta. Hari ini lebih 6 juta warga telah kehilangan tempat tinggal. Seramai 4 juta menjadi pelarian perang. Hampir 500,000 orang masuk ke Rusia. Seramai 2.5 juta melarikan diri ke Poland. Selain itu, warga Ukraine yang ingin menyelamatkan diri  telah mendapat perlindungan di Slovakia, Romania, Hungary dan Maldova.

Ini krisis pelarian perang yang terbesar di Eropah sesudah Perang Dunia Kedua.

Jangan salah baca. Jangan silap faham. Hishamuddin Rais bukan menghalalkan apa yang dilakukan oleh Vladimir Putin. Keganasan tetap keganasan. Menceroboh masuk ke negara asing adalah salah laku yang wajib dikutuk.

Putin  bersalah menceroboh dan menyerang Ukraine. Tindakan Rusia menyerang Ukraine ini sama seperti Presiden Bush menceroboh dan menyerang Iraq pada 2001. Sama seperti tindakan Presiden Obama  masuk menghantar soldadu Amerika ke Syria pada 2014.  

Amerika melakukan jenayah perang selama 20 tahun apabila masuk menceroboh dan menyerang Afghanistan pada 2001. Israel salah kerana menceroboh menyerang Syria pada 1967 dan menawan Bukit Golan hingga ke hari ini. Singapura salah menceroboh ruang udara Malaysia yang dialami oleh warga Johor yang dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

China juga salah menceroboh masuk perairan Filipina, Vietnam dan Malaysia di Lautan Sunda. China juga melanggar undang-undang dunia apabila masuk menceroboh sempadan Republik Taiwan saban tahun. Jika China masuk melanggar Taiwan ini bermakna China melakukan  jenayah perang.

Imperialis – sama ada imperialis Amerika, Rusia atau China – tidak ada beza. Watak, perangai dan tindak tanduk kuasa imperialis adalah sama.

Sandiwara media

Apa yang ditimbulkan di sini ialah bagaimana media Barat menggarap cerita apabila Rusia menyerang Ukraine. Media arus perdana Barat terus tanpa henti mengutuk dan menyelar Presiden Putin dan Rusia.

Keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Rusia dipapar setiap detik. Dari media cetak, dari kaca tv dan media baru yang dimiliki oleh syarikat Amerika, semuanya seirama menyelar Rusia.

Bucha – sebuah pekan kecil entah di mana letaknya di Ukraine – kini  menjadi perbualan dunia. Bucha yang penduduknya tidak melebihi 40,000 orang telah dihebohkan bagai nak rak. Di Bucha dikatakan soldadu dan bala tentera Rusia telah melakukan keganasan terhadap orang awam.

Mayat yang bergelimpangan dengan tangan terikat ditemui di tengah jalan. Apa yang berlaku di Bucha ditakrif oleh media Barat sebagai genosid – pembunuhan orang awam beramai-ramai.

Rusia menafikan apa yang berlaku di Bucha. Menurut Rusia semua ini hanyalah sandiwara yang dipentaskan untuk memerangkap dan menuduh Rusia melakukan jenayah perang.

Ketika Bush mengebom Baghdad kita tidak terjumpa laporan media Barat yang menuduh Presiden Bush melakukan genosid ke atas warga Iraq.  Ketika Israel mengebom Gaza media Barat senyap membisu. Tidak ada media Barat – CNN, BBC atau New York Times – melaporkan niat untuk mendakwa Benjamin Netanyahu ke mahkamah dunia kerana genosid.

Udang di sebalik batu

Justeru laporan berita yang  berat sebelah pasti akan membuka fikrah sesiapa sahaja yang rasional. Berfikir secara rasional untuk mengamati apa yang sebenarnya  sedang berlaku di Ukraine.

Bertanya pada diri: Udang jenis apa ada tersorok di tembok Kyiv.

Mana propaganda, yang mana sandiwara, yang mana berita teater, yang  mana berita palsu, mana operasi salah bendera dan yang mana berita perangkap. Kita sebagai insan yang bertanggung jawab wajib terus  meneliti. Jangan ambil sikap tangkap muat dan malas berfikir dan menganalisa.

Untuk memahami cerita dan apa berita kita wajib melihat apa sebenarnya  agenda di belakang tabir. Kita wajib bijak membaca apa makna suara dan kenyataan dan tindakan Presiden Biden, Kesatuan Eropah dan NATO.

Langkah pertama yang diambil oleh Amerika dan Kesatuan Eropah ialah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia. Dari minggu pertama apabila  pecah perang, Amerika telah menyusun strategi untuk menyekat ekonomi Rusia.

Amerika, NATO dan Kesatuan Eropah telah melancarkan perang ekonomi. Serangan ekonomi telah lama berlaku. Amerika dan sekutunya telah mengadakan sekatan ekonomi semenjak Rusia mengambil alih kembali Crimea pada tahun 2014.

Sesudah Ukraine diserang, sekatan ekonomi ditambak dan diperketat.

Dari segi ekonomi Rusia adalah pengeluar minyak dan gas yang terbesar dalam dunia. Rusia memiliki simpanan minyak dan gas dalam bumi yang masih belum dicari gali. Rusia mengeluarkan 10.5 juta tong minyak sehari atau 14% dari pengeluaran dunia. Rusia juga pengeluar gas kedua terbesar di dunia selepas Amerika.

Malah negara-negara Eropah Barat dari Perancis hingga ke Itali membeli cecair gas dan bahan bakar minyak petroleum dari Rusia. Rusia menjadi pembekal 40% bahan tenaga bakar untuk Jerman.

Hakikatnya, tenaga elekterik Eropah datangnya dari Rusia.

Rusia dilihat seperti saluran nadi darah – gas dan minyak – untuk Eropah Barat dan Timur. Minyak dan gas Rusia datang dari perut bumi bukan dari dasar laut. Maknanya cari gali yang lebih mudah. Maknanya keuntungan lebih lumayan untuk Rusia.

Mengikut laporan International Energy Agency, pada 2021, 45% bajet Rusia datang dari jual beli minyak dan gas.

Pada awal perang, Jerman enggan terlibat secara mendalam. Jerman enggan menghantar senjata ke Ukraine. Ini kerana kebergantungan Jerman dengan bahan tenaga gas dan minyak dari  Rusia.    

Amerika telah memberi tekanan kepada Jerman. Sekatan ekonomi dari Jerman amat penting dalam strategi perang ekonomi. Jerman adalah pemacu utama ekonomi Eropah  yang diikuti oleh Perancis.

Malah sebelum perang pecah Amerika telah meminta Jerman memutuskan hubungan ekonomi yang intim dengan Rusia.  

Projek Nord Stream 2 - saluran paip gas bernilai  2 bilion dolar telah siap. Modal projek ini dari Jerman. Projek ini  untuk menambah saluran paip Nord Stream 1 yang sedia ada. Amerika tidak selesa dengan saluran paip ke dua ini. Justeru Amerika terus memberi tekanan.

Apabila perang pecah, tekanan Amerika ke atas Jerman bertambah kuat. Akhirnya Jerman membatalkan Nord Stream 2 daripada beroperasi. Jerman juga bersetuju untuk menghantar senjata ke Ukraine.

Jelas hubungan ekonomi Jerman dengan Rusia melalui gas dan minyak ini mahu dimusnahkan oleh Amerika. Terbukti Amerika mahu Eropah membeli  bahan bakar gas dan minyak dari Amerika.

Maka terbukti kebenaran kata-kata Karl Marx (1818-1883), ahli falsafah  Jerman, yang berkata 100 tahun dahulu bahawa perang adalah perebutan punca ekonomi.

Dampak pertama kita lihat bagaimana untuk pertama kalinya Jerman telah menggandakan bajet pertahanan daripada AS$52.8 bilion untuk tahun 2021 ke AS$112.7 bilion untuk tahun 2022.

Apa maknanya semua ini?

Pada 1935 Mejar Jeneral (Bersara) Smedley D. Butler menulis buku: War is a Racket – Perang Adalah Perniagaan Tipu. Dalam buku yang digarap hasil daripada pengalaman dalam tentera, Mejar Jeneral Smedley membutirkan bagaimana tentera Amerika telah melancar beberapa perang di Amerika Latin.

Perang untuk menegak demokrasi. Perang untuk melawan komunis. Demokrasi dan komunis dijadikan sebab musabab untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika agar menyokong Presiden dan ahli Kongres  untuk melancarkan perang.

Senjata

Walhal tujuan perang tidak ada sangkut paut dengan membawa demokrasi. Ini terbukti seperti di Iraq di mana demokrasi dijadikan alasan untuk menumbangkan Saddam Hussein. Senjata ‘mass destruction – senjata pemusnah’ diratib untuk memerangi Iraq.

Hakikatnya: Kita tidak perlu berdolak dalih. Kita tidak perlu menipu diri sendiri. Perang dilancarkan bertujuan untuk memastikan industri senjata terus berkembang.  

Tokan senjata, taikon senjata, pemilik kilang senjata telah memberi dana kepada para politikus ketika berkempen mencari undi. Dana politik ini adalah pelaburan. Setelah presiden atau ahli Kongres dipilih, maka inilah masa untuk menuai pelaburan itu.

Presiden dan ahli Kongres akan berpolitik untuk mewujudkan perang. Bila perang pecah maka Military-Industrial Complex – Kompleks Industri Senjata – akan bergerak pantas untuk mengeluarkan senjata.

Industri senjata ini amat penting untuk Amerika. Sebagai negara imperialis, senjata perlu untuk menundukkan musuh. Hegemoni Amerika ini asasnya ialah kekuatan senjata.

Malah eksport utama Amerika ialah senjata. Syarikat Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman dan Raytheon Technologies adalah nama-nama syarikat gergasi persenjataan dunia.

Bersama syarikat senjata ini wujud pula syarikat tentera swasta. Di Amerika ada 5,883 syarikat tentera swasta. Nama terulung yang dikenali di dunia ialah Blackwater dan G4S.

Soldadu swasta ini menjalankan tugas yang sama seperti yang dijalankan oleh tentera rasmi Amerika. Bezanya soldadu Blackwater boleh melakukan kerja-kerja jahat yang soldadu rasmi Amerika tidak akan lakukan.

Kontrak untuk membuat senjata dan kontrak kerja gelap yang bernilai berbilion dolar akan diluluskan oleh Kongres.

Kerja gelap seperti mengebom ‘kenduri kahwin’ di Kabul pada 18 Ogos 2019 dimana 63 telah tewas dan 180 lagi cedera. Kerja jahat ini dilakukan oleh ISIS – Islamic  State of Iraq and Syria. Dunia tahu ISIS adalah jaringan syarikat Al-Qaeda.

Al-Qaeda asal usulnya adalah anak syarikat soldadu swasta yang ditaja oleh Amerika untuk melawan Rusia di Afghanistan pada tahun 1979.

Kerja jahat lagi gelap ini tidak akan dilakukan oleh soldadu rasmi Amerika. Justeru soldadu Amerika tidak akan didakwa dakwi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Media Barat tanpa henti melaporkan kata-kata dan ucapan molek-molek meminta perang Ukraine dihentikan. Saranan hentikan perang kita dengar  dari Presiden Biden dan Presiden  Kesatuan Eropah, Ursula Von der Leyen.

Air mata buaya

Seperti pelakon Holywood yang menggunakan ‘method acting’, Biden dan Leyen telah menitiskan air mata sedih apabila melihat gambar mayat bergelimpang di atas jalan raya di Bucha.

Di belakang air mata buaya ini sebenarnya Amerika, NATO dan EU tidak mahu perang ini ditamatkan.  

Apa buktinya?

Buktinya – Amerika dan NATO terus membekalkan pelbagai bentuk senjata kepada Ukraine. Senjata ini semuanya dari Amerika. Dana persenjataan terus dibekalkan kepada Ukraine.

Justeru dana politik yang dilaburkan oleh Lockheed Martin, Boeing atau Blackwater kini panennya sedang dituai. Malah jangan terperanjat bila ditemui ramai ahli Kongres dari parti Republikan dan Demokrat memiliki saham dalam syarikat membuat senjata.

Berita dari portal Insider pada 13 Disember 2021 telah melaporkan terdapat 15 ahli Dewan Senat dan Kongres yang menerajui dasar pertahanan Amerika ada memiliki kepentingan dalam syarikat persenjataan.

Dua bulan semenjak perang Ukraine ini bermula telah menaikkan lagi nilai saham Boeing, Lockheed Martin dan Taytheon Technologies. Saham syarikat senjata naik, maka poket politikus juga menggelembung naik sama.

Justeru mustahil perang ini akan ditamatkan secepat mungkin. Malah ada tujuan lain lagi untuk meneruskan perang. Tunggu minggu hadapan. Amin. – 11 April, 2022.     

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen