'Silap besar' jika lulus pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, kata Undi18 


Alfian Z.M. Tahir

Undi18 berkata walaupun ia membolehkan penggubalan undang-undang anti lompat parti, namun pindaan Perkara 10 menyebabkan beberapa isu besar yang akan memberikan implikasi jangka masa panjang kepada kesihatan demokrasi negara Malaysia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

UNDI18 menolak langkah Putrajaya untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kebebasan berpersatuan, dengan mendakwa ia memberi terlalu banyak kuasa kepada kerajaan semasa.

Dalam satu kenyataan, Undi18 berkata walaupun ia membolehkan penggubalan undang-undang anti lompat parti, namun pindaan Perkara 10 menyebabkan beberapa isu besar yang akan memberikan implikasi jangka masa panjang kepada kesihatan demokrasi negara Malaysia.

“Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa yang terlalu luas kepada kerajaan untuk menentukan keahlian parti untuk ahli Parlimen, maka terbuka kepada salah guna kuasa.

“Pindaan Perkara 10 tidak khusus kepada isu lompat parti. Pindaan Perkara 10 akan memberikan “cek kosong” kepada mana-mana kerajaan yang akan datang untuk mengawal penyertaan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri dalam parti politik.

“Contohnya, tidak mustahil jika peraturan diletakkan untuk memecat ahli politik dari parti politik jika mereka pernah disaman ataupun pernah ditahan polis bawah mana-mana akta ditentukan pihak kerajaan,” katanya.

Pergerakan itu menambah pindaan Perkara 10 tidak membawa kepada rang undang-undang anti lompat parti secara langsung.

Ia berkata pindaan perlembagaan masih diperlukan untuk Perkara 48;  yang mana terdapat sebab mengapa seseorang ahli Dewan boleh dilucutkan kerusi Parlimennya.

“Tanpa pindaan terhadap Perkara 48, apa-apa rang undang-undang anti lompat parti yang memaksa ahli Parlimen mengosongkan kerusi Parlimen masih tidak selari dengan Perlembagaan.

“Pindaan Perkara 10 tidak mampu menghalang peristiwa seperti tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (Langkah Sheraton) dan tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional berulang kembali. Kedua-dua kejadian ini disebabkan oleh parti politik kerajaan memilih untuk menukar arah dan meninggalkan kerajaan,” jelasnya.

Justeru, Undi18 menyokong cadangan kumpulan masyarakat sivil, Bersih, dan Azalina Othman Said untuk mengusulkan pilihan raya pecat (recall elections) sebagai langkah penyelesaian lebih jitu.

“Kesimpulannya, silap besar jika Pindaan Perlembagaan kepada Perkara 10 diluluskan,” katanya.

Susulan kebocoran cadangan pindaan perlembagaan terbaru kepada hanya Perkara 10, Perikatan Nasional dan PAS menyatakan akan menyokongnya apabila ia dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

Pindaan perlembagaan memerlukan undi daripada dua pertiga ahli Parlimen supaya ia diluluskan.

Beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan bagaimanapun tidak bersetuju dengan versi terbaru ini. – 9 April, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen