Pengembara boleh buat ujian RTK-AG di klinik, bukan sahaja lapangan terbang, kata MAHB 


Ravin Palanisamy

Pengembara antarabangsa boleh melakukan ujian itu dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini di mana-mana kemudahan kesihatan swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2022.

UJIAN RTK-Antigen di lapangan terbang bukan satu keperluan wajib bagi pengembara antarabangsa yang masuk ke negara ini, kata Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) hari ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) terkini yang diumumkan kerajaan menggariskan bahawa pengembara boleh melakukan ujian RTK-AG profesional dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini di mana-mana kemudahan kesihatan swasta dan kemudian menyatakan keputusan mereka di aplikasi MySejahtera.

“Tiada keperluan untuk pengembara melakukan ujian berkenaan di lapangan terbang seperti yang didakwa oleh beberapa laporan media,” kata MAHB dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa pelancong yang tiba di Malaysia tidak berpuas hati dengan harga tinggi yang perlu mereka bayar untuk ujian RTK-Ag di lapangan terbang.

Terdapat beberapa jenis pilihan ujian Covid-19 semasa ketibaan yang tersedia di KLIA dan terminal tambang rendah KLIA2, dengan ujian RTK-Ag (hidung) profesional berharga RM100 untuk rakyat Malaysia dan RM160 untuk warga asing.

Kosnya hampir separuh daripada yang dikenakan di klinik.

Minggu lalu, Kooperasi Persatuan Perubatan Malaysia (Koop MMA) berkata bahawa pengembara antarabangsa kini boleh membuat pra-tempah RTK-Ag profesional mereka dalam talian melalui www.traveller.emedasia.com

Presidennya Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata kira-kira 2,000 klinik swasta mengambil bahagian dalam program itu dan setiap harga ujian RTK-Ag dikenakan bayaran RM70.

Bermula 1 April, pengembara yang memasuki Malaysia diwajibkan menjalani ujian PCR dua hari sebelum berlepas dan menjalani ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

MAHB juga menafikan bahawa ujian RTK-Ag di lapangan terbang dimonopoli oleh satu syarikat.

Ia berkata terdapat empat pengendali kemudahan kesihatan berbeza yang menyediakan perkhidmatan itu di empat lapangan terbang berbeza.

Antaranya ialah BP Clinical Lab Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Edgenta UEMS Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, MYEG Services Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Kemudahan itu disediakan untuk penumpang yang ingin mendapatkan kemudahan melakukan ujian segera di lapangan terbang sebaik tiba mereka,” tambahnya. – 8 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen