PKR dakwa pengundi Gerakan di Batu dilarikan ke Wangsa Maju


Zulkifli Sulong

Ketua Ranting PKR Taman P Ramlee di Wangsa Maju, Ravee Suntheralingam dan rakan menunjukkan bagaimana nama pengundi Batu dipindah ke Wangsa Maju untuk memenangkan calon Umno dengan mengorbankan calon Gerakan di Batu dalam PRU14 akan datang.– Gambar The Malaysian Inisght, 12 Februari, 2018.

KALTSOM Abdul Hamid, 61, adalah ibu tunggal yang sekian lama mengundi di Parlimen Batu namun beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini beliau dapati alamatnya sudah berubah ke Seksyen 1, Wangsa Maju.

Beliau turut berkongsi alamat baru itu dengan dua lagi jirannya sekarang, Zahrah Rais dan Sharifah Rosmawati Syed Ahmad.

Menurut Kaltsom, semuanya bermula kira-kira setahun lalu apabila beberapa individu datang ke rumah beliau meminta kad pengenalan dengan alasan mahu memberikan bantuan.

Selepas menyerahkan kad pengenalannya, beliau diberikan wang tunai RM60 oleh individu berkenaan.

Selain mereka bertiga, Hasim Rasip, 74, seorang pesara bomba yang tinggal di Taman Beringin Jinjang Utara juga dipindahkan alamat mengundi.

Namun sebagai penyokong Umno, Hasim sedia dipindahkan dengan alasan mahu memberikan undi kepada Umno di Wangsa Maju kerana calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Batu adalah dari Gerakan.

“Saya rela dipindah untuk menangkan Umno,” kata Hasim dalam rakaman video yang dibuat oleh pasukan penyelidik yang bertugas untuk PKR Wangsa Maju.

Hasim kini menggunakan alamat baru iaitu Blok F6, Taman Melati, kawasan 8 Setapak yang terletak dalam Parlimen Wangsa Maju walaupun beliau menetap di Taman Beringin yang terletak di bawah Parlimen Batu.

Kesemua mereka adalah sebahagian dari 963 pengundi Batu berbangsa Melayu yang dipindahkan alamat mereka ke Wangsa Maju dan bakal mengundi di kawasan Parlimen ini dalam PRU14 akan datang.

“Kami yakin kerja-kerja ini dilakukan oleh Umno untuk memenangkan kerusi ini dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Ravee Suntheralingam, Ketua Ranting PKR Taman P Ramlee, Wangsa Maju.

Raveee berkata, beliau tidak senang hati kerana Umno memecahkan semangat setiakawan dengan rakannya dalam BN iaitu Gerakan dengan membawa lari pengundi BN di Batu ke Wangsa Maju.

“Saya tidak faham bagaimana boleh Umno melarikan pengundi rakan mereka iaitu Gerakan di Parlimen Batu untuk memenangkan kerusi mereka di Wangsa Maju,” kata Ravee.

Sejumlah 963 orang pengundi ini adalah sebahagian dari 1,429 nama dalam daftar pemilih itu yang tidak menetap di alamat berdaftar, dakwa Lee Wee Tak, seorang petugas sukarela PKR Wangsa Maju yang membuat kajian tentang daftar pemilih di situ.

Lee bersama rakan-rakannya menganalisis data pemilih yang mereka perolehi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2016.

“Namun mulai 2017, SPR tidak lagi membekalkan data kepada kami. Saya yakin, jika diambil kira data terkini, lebih ramai lagi pengundi yang tinggal di luar Wangsa Maju akan mengundi di sini,” katanya.

Sejumlah 963 orang pengundi ini adalah sebahagian dari 1,429 nama dalam daftar pemilih itu yang tidak menetap di alamat berdaftar, dakwa Lee Wee Tak, seorang petugas sukarela PKR Wangsa Maju yang membuat kajian tentang daftar pemilih di situ. – Gambar The Malaysian Inisght, 12 Februari, 2018.

Ketua Umno Wangsa Maju, Mohd Shafei Abdullah disebut-sebut bakal mencuba nasibnya sekali lagi untuk menjadi calon BN dalam PRU14 nanti.

Gambar beliau terpampang di mana-mana dalam kawasan Wangsa Maju. Usaha menambah penyokong BN ke kawasan Parlimen ini pula mungkin meningkatkan peluangnya untuk menang.

PKR pula dijangka akan menukar calonnya kepada Dr Tan Yee Kew, Bendahari PKR pusat. Dalam PRU13 lalu, calon PKR Tan Kee Wong menang mengalahkan Shafei dengan majoriti 5,511 undi. – 12 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ceritanya sama seperti 400000 bangla dan blackout masa PRU 13.mereka suka mengadakan berita sensasi untuk kelihatan pembangkang adalah segala-galanya.kelihatan dekat PRU ke 14 semakin rancak pembangkang memutar belit berita sensasi untuk meraih undi.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan