Najib setuju debat dengan Anwar mengenai isu Sapura


Aminah Farid

Bekas perdana menteri Najib Razak sedia untuk berdebat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai masalah kewangan Sapura Energy Berhad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menunggu untuk berdebat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai masalah kewangan Sapura Energy Berhad.

Dalam catatan Facebook, beliau memberitahu ketua pembangkang itu supaya segera menghubungi pembantunya untuk menetapkan tempat dan masa, selepas Anwar bersetuju untuk berdebat mengenai perkara itu awal hari ini.

Najib juga berkata beliau ingin meminta pasukan Anwar dan Rafizi Ramli berbincang dengan media jika ada di antara mereka yang mahu membuat siaran langsung mengenai debat itu.

“Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let’s rock!

“Namun, yang paling saya tak faham ialah kenyataan Anwar berikut: “Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya pada awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela.

“Seolah-olah Rafizi menipu Anwar apabila dia memberi taklimat kepada Anwar berhubung isu ini,” katanya.

“Yang mula-mula cabar untuk debat ialah Rafizi sehari dua sebelum Ramadan bermula. Saya cuma sahut sahaja.

“Dan saya sudah menjawab kesemua sanggahan Rafizi setiap kali dia naikkan,” katanya.

Semalam, Najib menerima pelawaan Rafizi Ramli untuk debat mengenai Sapura, dan memberitahu naib presiden PKR itu untuk menjemput Anwar sama, yang mana ia diterima oleh pemimpin PKR pagi ini.

Sapura Energy, anak syarikat Kumpulan Sapura, kerugian RM8.9 bilion tahun lepas dan berada dalam kedudukan merah sejak 2019. Tiga anak syarikatnya juga dalam proses penggulungan pada awal Mac.

Berikutan cadangan asal Najib supaya kerajaan campur tangan dengan memberi pinjaman faedah rendah atau jaminan pinjaman kepada Sapura untuk menyelesaikan kebimbangan aliran tunainya, Rafizi dan Najib telah berselisih.

Putrajaya juga mungkin mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih pemilikan Sapura, menurut Najib, sambil menyatakan hakikat bahawa Petronas masih memerlukan perkhidmatan Sapura untuk projeknya dan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai sektor itu.

Bagaimanapun, Rafizi berkata ini hanya akan menguntungkan “segelintir golongan elit”, sambil menambah bahawa wang yang digunakan untuk menyelamatkan syarikat minyak dan gas yang sakit itu boleh digunakan dengan lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia. – 4 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen