Memahami perang Russia dan Ukraine


Hishamuddin Rais

KETIKA saya menulis ini, Perang Ukraine yang bermula pada 24 Februari, 2022 masuk hari ke-36. Daripada apa yang dunia diberitahu rundingan damai pusingan keenam selesai di Istanbul, Turki. Tidak ada berita lanjut menyusul hasil rundingan ini

Apa yang jelas – kota-kota Ukraine terus dibedil bala tentera Russia dari darat, laut dan udara. Perang ini menimbulkan masalah orang pelarian. Lebih dua juta warga Ukraine melarikan dari. Ada yang masuk ke Russia, ke Belarus, ke Poland, ke Republik Czech dan negara jiran bersebelahan untuk mencari keselamatan.

Presiden Vladimir Putin memanggil  perang ini sebagai “special operation” – operasi istimewa –  dari Russia. Manakala Presiden Volodymyr Zalenskyy menjerit terpekik terlolong melaung Ukraine diserang Russia.

Perangai terpekik terlolong Zalenskyy ini tidak menghairankan kerana sosok ini hanyalah seorang pelawak. Manakala Putin bekas mata-mata gelap perisik KGB pada zaman Soviet Union. Putin juga pemain sukan judo pemilik tali pinggang hitam. 

Putin adalah bekas perdana menteri Russia dan menjadi presiden pada 2000. Manakala Zalenskyy bekas pelawak yang bertukar menjadi pelakon dan kemudian menjadi presiden pada 2019.

Kalau kita membaca dan mengikuti laporan media Barat, Ukraine berjaya mengalahkan Russia. Berpuluh ribu soldadu Russia gugur. Ratusan kereta perisai Russia musnah.  Berpuluh jet pejuang Russia ditembak jatuh.

Malah kuasa Putin sedang goyah dan bila-bila masa saja akan berlaku peralihan kuasa di Kremlin. Bacaan politik seperti ini meyakinkan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden ketika berucap di Poland untuk berkata “this man has to go” – “Putin wajib berambus”.

Putin digambarkan sebagai Hitler jenis baru. Condoleezza Rice bekas setiausaha negara Amerika bersuara mengatakan Putin tidak memiliki kewarasan fikrah lagi sehingga sanggup menghantar bala tentera Russia untuk “mati katak” di Ukraine.

Dilaporkan media Barat rancangan “perang jahat” Putin ini gagal meleset. Seluruh dunia, mengikut laporan media Barat, sedang menyekat ekonomi Russia dan saban hari rakyat dunia mengutuk Putin.

Media seperti stesen CNN, BBC, DW dari German, ABC dari Australia – semua – memberi laporan betapa Putin membuat silap besar. Putin menyangka rakyat Ukraine akan menyambut soldadu Russia dengan tangan terbuka.

Tidak cukup dengan ini, stesen RT (Russia Today) dilarang beroperasi di Amerika dan negara Eropah. Internet dan YouTube menghalang kemasukan semua berita yang berpunca dari Russia.

Justeru kita hanya mendengar satu cerita saja. Cerita orang jahat bernama Putin. Cerita lain media Barat tidak lapor. Bayangkan ramai warga dunia tidak sedar Zalenskyy ini hanyalah seorang pelawak.Kah kah kah. Amin.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Tulisan ini akan cuba memberi pencerahan tentang perang yang berlaku sejak lapan tahun. Selama lapan tahun berita perang ini ditutup dan tidak dihebohkan daripada diketahui warga dunia.

Tidak seperti yang berlaku sekarang – Perang Ukraine yang dihebohkan. Perang “senyap” ini mengorbankan lebih 14,000 nyawa.

Lapan tahun? Kenapa lapan tahun? Bukankah Perang Ukraine hanya bermula pada 24 Februari, 2022? 

Betul. Tarikh 24 Februari, 2022 adalah permulaan “special operation – operasi istimewa” dari Russia. Operasi Istimewa ini adalah sambungan daripada perang lapan tahun yang berlanjutan dari wilayah Donbass di timur Ukraine. Perang ini bermula pada 2014.

Apa punca perang yang bermula pada 2014?

Perang Donbass ini tidak dilapor dan tidak dihebohkan media Barat. Malah punca Perang Donbass ini juga cuba disorokkan.

Tragedi perang ini bermula pada 2014. Satu rampasan kuasa berlaku di Kyiv, ibu kota Ukraine. Dengan slogan anti rasuah dan menentang oligarki, rakyat keluar berdemo ke jalan raya. Hasilnya kerajaan Presiden Victor Yunokovych yang dipilih rakyat jatuh. Yunokovych menyelamatkan diri lari ke Russia.

Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah kumpulan Azov. Ini adalah kumpulan Nazi bentuk baru sambungan daripada ideologi Hitler, peninggalan Perang Dunia Kedua. Batalion Azov tersusun dan bersenjata. Mereka inilah yang mengepong, mengganas dan membunuh di Istana Presiden di Dataran Maidan, Kyiv pada 2014.

Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah CIA dan Amerika Syarikat. Amerika memberi sokongan moral dan dana untuk menjatuhkan Yunokovych. 

Victoria Nuland, diplomat Amerika yang bertugas di Kyiv, mengaku Amerika membelanjakan 5 bilion dolar untuk rancangan menjatuhkan kerajaan Yunokovych. Dana ini disalurkan kepada parti politik dan pelbagai kumpulan NGO.

Peranan CIA dalam babak rampasan kuasa 2014 ini tidak dihebohkan media arus perdana Barat. Hanya portal berita dan blog progresif termasuk Hishamuddin Rais yang menulis dan menghebohkan fakta ini.

Rampasan kuasa 2014 yang ditaja Amerika ini mengubah politik Ukraine. Daripada sebuah negara yang berbaik dengan Russia menjadi negara yang mahu menjadi sekutu Eropah dan mahu menjadi anggota NATO.

Di wilayah Donbass – sama seperti empat wilayah Selatan Siam berbangsa  Melayu – penduduknya berbangsa Russia. Apabila rampasan kuasa 2014 berlaku, warga etnik Russia di Donbass bangun melawan kerajaan pusat di Kyiv.

Mereka tidak mahu memusuhi Russia. Tentera Ukraine datang untuk menundukkan pemberontakan dan gerakan pemisah. Masuk batalion Azov – kumpulan neo-Nazi. Inilah permulaan perang lapan tahun dahulu.

Pada masa sama satu pungutan suara dijalankan pada Februari 2014 di Crimea. Wilayah Crimea ini juga penduduknya adalah etnik Russia. Hasil dari pungutan suara 97% warga mahu Crimea masuk menjadi Persekutuan Russia.

Media Barat juga tidak menghebohkan Crimea ini asal usulnya adalah sebahagian daripada Russia. Pada 1953, untuk menstabilkan politik Ukraine, Nikita Khrushchev (1894-1971) yang ketika itu memimpin Russia memberikan wilayah Crimea ini kepada Ukraine.

Apa yang media Barat hebohkan hanyalah pungutan suara ini tidak diiktiraf dunia. Sejarah asal usul Crimea tidak dihebohkan.

Perang di wilayah Donbass berterusan hingga diadakan Perjanjian Minsk. Perjanjian ini meredakan perang, memulang tahanan perang, menghormati sempadan yang sedia wujud dan mengundurkan senjata berat. Perjanjian Minsk ini ditandatangani Russia dan Ukraine di Minsk ibu negara Belarus pada 5 September, 2014.

Tetapi keganasan batalion Azov di wilayah Donbass berterusan. Bentrokan dan pertempuran sering berlaku walaupun ada Perjanjian Minsk yang mengajukan damai.

Tetiba Zalenskyy yang dipilih pada 2019 menghidupkan kembali niat Ukraine untuk menjadi anggota NATO. 

NATO (North Atlantic Treaty Organisaton ) ini adalah  perjanjian di bawah telunjuk Amerika. NATO – perjanjian politik dan ketenteraan ini – ditubuhkan pada 1949. Tujuan NATO: untuk menentang negara blok Soviet Union yang dipimpin Russia setelah tamat Perang Dunia Kedua.

Sebagai jawapan kepada NATO – enam tahun kemudian pada 1955 – Soviet Union mendirikan Warsaw Pact. Perjanjian Warsaw ini menyatukan negara blok Soviet dalam hal politik, ekonomi dan kerjasama.

Dua blok – blok Amerika dan blok Soviet – menjadi protagonis Perang Dingin. Dari 1947 hingga runtuhnya Tembok Berlin pada 1989, dua blok superpower ini bertelagah.

Asas Perang Dingin dua blok ini ialah pertempuran dua ideologi. Ideologi sistem ekonomi kapitalis yang dikepalai Amerika, dan ideologi sistem ekonomi sosialis dipimpin Russia.

Suasana politik berubah. Pada 1985 Russia di bawah Mikhail Gorbachev (1931) membawa “perestroika” atau dasar baru yang terbuka. Amerika di bawah Ronald Reagan (1911-2004) menyambut dasar Russia ini dengan tangan terbuka.

Akhirnya Amerika di bawah presiden Ronald Reagan dan Soviet Union di bawah presiden Mikhail Gorbachev berjabat tangan. Dua bekas musuh ini bertemu di Geneva (1985), di Reykjavik (1986), di Washington DC (1987) dan di Moscow (1988). Permusuhan tamat.

Tembok Berlin runtuh pada 1989. Blok Soviet Union dimansuhkan. Perang Dingin tamat. Perjanjian Warsaw terbatal dengan sendirinya. 

Salah satu perkara yang dipersetujui Reagan dan Gorbachev ialah NATO tidak akan menambah ahli dan menular ke Timur hingga ke sempadan Russia. 

Sayangnya persetujuan ini tidak dihitamputihkan antara Reagan dengan Gorbachev.

Dunia mengalu-alukan tamatnya Perang Dingin. Tetapi NATO masih wujud. NATO masih dengan agenda utama menjadikan Russia sebagai musuh.

Bukan saja NATO tidak dimansuhkan malah NATO terus menerima negara baru sebagai anggota. Negara bekas Perjanjian Warsaw dan blok Soviet: Hungary, Republik Czech, Albania, Crotia, Estnonia, Latvia, Lithunia, Montenegro, Romania, Slovakia, Slovania dan Poland kini semua menjadi anggota NATO.

NATO ditubuhkan dengan satu tujuan: Menentang Russia dan Soviet Union. Kini Soviet Union tidak wujud tetapi niat dan tujuan NATO masih lagi melihat Russia sebagai musuh.

Apabila Ukraine berniat hendak menjadi anggota NATO ertinya Ukraine hendak bermusuh dengan Russia.

Russia memberi amaran dan memberi ingatan berkali-kali. Jangan luaskan anggota NATO hingga sampai ke depan pintu Russia. Negara bekas blok Soviet yang menjadi anggota NATO tidak dilihat mengancam keselamatan Russia. Tapi Ukraine lain.

Ukraine dan Russia bersempadan – seperti Tanah Semenanjung bersempadan dengan Siam. Justeru jika Ukraine menjadi anggota NATO ini bermakna senjata nuklear NATO boleh dipasang betul-betul di tepi katil Russia.

Media Barat dan penyokong NATO sentiasa berhujah hak Ukraine untuk membuat perjanjian dengan sesiapa saja. Ini kerana Ukraine negara berdaulat.

Betulkah hujah ini?

Untuk memahami hujah ini mari kita kembali ke 1962. Ketika ini Perang Dingin sedang memuncak. Russia dipimpin oleh Nikita Khrushchev manakala Amerika dipimpin John F Kennedy (1917-1963).

Russia dengan senyap-senyap cuba memasang senjata nuklear di Cuba. Bayangan jarak Cuba dengan Amerika hanya 90 batu. Semua kota Amerika menjadi sasaran senjata Russia. Apabila rancangan Russia ini diketahui oleh badan perisik Amerika maka terjadi apa yang kini diingati sebagai Cuban Missile Crisis.

Kennedy membantah. Pertelagahan terjadi. Dunia hampir meledak dengan sejata nuklear. Amerika berkeras menolak rancangan Cuba untuk menempatkan senjata Russia di negara mereka.

Betul – Cuba negara berdaulat boleh membuat perjanjian dengan sesiapa saja. Ini hak Cuba. Tetapi memasang senjata nuklear di Cuba mengancam keselamatan Amerika Sarekat.

Akhirnya Russia membatalkan niat untuk memasang missile di Cuba.

Babak ini sama dengan apa yang berlaku di Ukraine sekarang. Tetapi media Barat langsung tidak membuat  perbandingan dengan apa yang berlaku pada 1962 dengan apa yang berlaku pada tahun 2022.

Tetiba pada Februari 2022, Zalensky mengoyakkan Perjanjian Minsk. Wilayah Donbass yang majoritinya etnik Russia kembali dibedil. Kumpulan neo Nazi Azov kembali mengganas.

Justeru pada 22 Februari, 2022 Parlimen Russia mengiktiraf wilayah Donbass sebagai negara merdeka. Dua hari kemudian Putin melancarkan apa yang dipanggil “special operation – operasi istimewa” ke atas Ukraine.

Dua tujuan asak operasi ini. Pertama, “denazification” iaitu membebaskan pengaruh Nazi di wilayah Donbass. Kedua, untuk mempertahankan hak etnik Russia menggunakan bahasa Russia yang diganyang dan ditindas di Ukraine.

Apakah perang akan berterusan? Krisis orang pelarian kini menghantui Eropah. Apa jawapan NATO dan Amerika kepada “special operation” Putin. Tunggu minggu hadapan. – 4 April, 2022.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen