AFRIKA Selatan mencatatkan lebih 100,000 kematian akibat Covid, menurut angka rasmi yang dikeluarkan, namun jumlah kematian sebenar dipercayai lebih tinggi.
Data yang dikeluarkan oleh Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan menunjukkan sejumlah 100,020 kematian telah berlaku sejak permulaan wabak itu dua tahun lalu.
Institut itu melaporkan 44 kematian pada hari Rabu, tetapi hanya enam kes sejak dua hari lalu, manakala selebihnya ditemui semasa audit kerajaan yang sedang dijalankan.
Kematian akibat Covid-19 dianggarkan lebih tinggi daripada yang dilaporkan secara rasmi, dengan penyelidik mengatakan ia boleh menjadi tiga kali ganda daripada angka yang dilaporkan.
Data yang dikumpulkan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan menunjukkan bahawa terdapat lebih 300,000 lebihan kematian akibat punca semula jadi sejak wabak itu melanda.
“Sejak 3 Mei 2020, terdapat jumlah kumulatif 303,400 lebihan kematian akibat semula jadi dari semua peringkat umur,” kata majlis itu dalam satu laporan pada Selasa.
Data lebihan kematian itu diperoleh daripada anggaran kematian yang mungkin dijangka berlaku tanpa wabak, menurut metodologi yang digunakan oleh kumpulan penyelidikan bebas yang dibiayai kerajaan.
“Walaupun lebih banyak data diperlukan mengenai punca kematian (semula jadi), pemerhatian sangat menyokong bahawa sebahagian besar daripada lebihan kematian yang diperhatikan di Afrika Selatan berkemungkinan berpunca daripada Covid-19,” menurut laporan di laman webnya.
Menurut majlis itu, 85,000 daripada lebihan kematian berlaku pada tahun pertama wabak itu, 203,200 berlaku tahun lepas, manakala lebih 15,000 telah berlaku setakat tahun ini.
Afrika Selatan adalah negara yang paling teruk dilanda Covid-19 di benua itu, dengan lebih 3.7 juta kes koronavirus atau lebih 30 peratus daripada lebih 11.3 juta kes di Afrika.
Namun ia akan memusnahkan kira-kira 92,000 vaksin Pfizer yang akan tamat tempoh pada hari Khamis, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.
Ia merupakan kali pertama Afrika Selatan—yang mana 30 peratus daripada populasi lengkap vaksinasi—membuang vaksin Covid, kerana penurunan jumlah penerima, kata kerajaan.
Hampir 900,000 dos lagi dijangka tamat pada Mei manakala 5.8 juta akan tamat pada Jun, dengan 4.8 juta lagi mencapai tarikh penggunaannya pada bulan Julai.
Presiden Cyril Ramaphosa minggu lalu membatalkan sebahagian besar sekatan koronavirus yang masih ada apabila jangkitan baharu menurun dan lebih sedikit jumlah kematian dilaporkan. – AFP, 31 Mac, 2022.
Komen