Kemasukan hospital kurang di Afrika Selatan walaupun Omicron melanda


Jumlah mereka yang memerlukan rawatan dan meninggal dunia di Afrika Selatan kurang berbanding gelombang Covid-19 sebelum ini walaupun varian Omicron melanda. – Gambar EPA, 17 Disember, 2021.  

KADAR jangkitan meningkat di seluruh Afrika Selatan akibat varian Omicron namun jumlah mereka yang memerlukan rawatan dan meninggal dunia kurang berbanding gelombang Covid-19 sebelum ini, kata pegawai kesihatan hari ini.

Pada Rabu Afrika Selatan mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi disebabkan oleh penyebaran meluas varian Omicron, kata Michelle Groome dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

“Kadar pengunian hospital tidak meningkat pada kadar yang begitu dramatik.

“Kami mula melihat beberapa peningkatan tetapi peningkatan yang agak kecil dalam kes kematian,” katanya.

Wassila Jassat, juga dari NCID berkata jumlah mereka yang memerlukan oksigen adalah lebih rendah berbanding dengan mana-mana tempoh gelombang sebelum ini.

“Pesakit dilihat memasuki wad untuk tempoh yang lebih singkat,” katanya.

Kira-kira 31% daripada populasi di negara itu sudah diberi vaksin sepenuhnya tetapi bilangannya meningkat kepada 66% bagi mereka berusia lebih 60 tahun. Warga emas paling berisiko mengalami gejala yang serius.

Strain Omicron yang sangat bermutasi pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Botswana bulan lalu mencetuskan panik global kerana bimbang ia lebih menular daripada varian lain.

Dengan lebih daripada tiga juta kes Afrika Selatan adalah negara yang paling teruk dilanda di benua itu. – AFP, 17 Disember, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen