Hentikan fungsi daftar masuk dalam MySejahtera, kata persatuan perubatan


Ravin Palanisamy

PUTRAJAYA perlu hentikan fungsi daftar masuk aplikasi MySejahtera kerana ia tidak lagi boleh dianggap berguna untuk kesan kontak rapat, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini.

Ketika negara dalam fasa peralihan ke endemik dengan kadar penularan Covid-19 yang tinggi, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai percaya fungsi pengimbasan tidak berguna lagi seperti sebelum ini

“Dengan penularan Covid-19 yang tinggi dalam masyarakat, ciri pengimbasan aplikasi MySejahtera bagi tujuan pengesanan kontak tidak lagi berguna seperti pada fasa awal pandemik.

“Memandangkan kita sedang beralih ke fasa endemik Covid-19, sudah tiba masanya kita pertimbang untuk hentikan pengimbasan MySejahtera setiap kali kita masuk premis, terutamanya apabila fasa peralihan tamat nanti.

“Penggunaan Mysejahtera membolehkan pengesanan kontak dilakukan semasa kemuncak pandemik, satu pencapaian yang mustahil tanpa aplikasi MySejahtera.

“Bagaimanapun, kegunaannya sebagai aplkasi pengesanan kontak rapat mungkin sudah tidak sesuai lagi.

“Dengan jumlah kes positif yang banyak di dalam dan di sekeliling kita, pengesanan kontak tidak akan diguna pakai secara meluas kerana ia tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan fungsi daftar masuk buat masa ini.

Beliau berkata kerajaan mungkin akan batal guna fungsi itu kemudian tetapi tidak menyatakan bila.

Semalam, ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii juga berkata fungsi daftar masuk MySejahtera kurang praktikal apabila negara beralih ke fasa endemik.

Beliau berkata Putrajaya harus mula menghapuskan keperluan orang ramai untuk mendaftar masuk pada MySejahtera kerana tujuan asalnya untuk pengenalan kontak kini mempunyai nilai epidemiologi yang sedikit.

Dr Koh, bagaimanapun, tidak mencadangkan untuk batalkan fungsi itu tetapi meminta ia dipelihara kerana mendakwa ia boleh berguna untuk pandemik seterusnya, jika ada.

“Ciri pengesanan kontak aplikasi itu harus dikekalkan kerana kita tidak akan tahu bila pandemik seterusnya akan muncul,” katanya.

Memandangkan aplikasi MySejahtera telah diterima pakai oleh sebilangan besar penduduk daripada golongan muda hingga tua di seluruh negara, Dr Koh mencadangkan ia boleh digunakan dengan lebih baik.

Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan berhubung isu aplikasi MySejahtera baru-baru ini, menggesa kerajaan selesaikannya bagi mendapat kepercayaan rakyat.

“Aplikasi MySejahtera boleh disesuaikan untuk digunakan sebagai rekod kesihatan peribadi kerana ia sudah dikaitkan dengan ID individu dan tidak boleh dipindah milik.

“Kebimbangan akan keselamatan data. Melihat kepada apa yang dikongsi di media sosial mengenai pemilikan aplikasi ini, diharap kerajaan akan terus proaktif dalam menjamin kepercayaan rakyat terhadap aplikasi itu dengan harapan ia boleh digunakan dalam pengurusan rekod kesihatan dalam langkah ke arah sistem penjagaan kesihatan yang berkesan untuk negara,” katanya.

Dr Koh berpendapat negara ini kekurangan sistem pengurusan berpusat untuk rekod kesihatan penduduk dan mencadangkan aplikasi MySejahtera digunakan untuk itu. – 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen