AMARAN PAS kepada Loh Siew Hong berhubung permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama anak-anaknya kepada Islam adalah berbaur hasutan, kata sebuah kumpulan antara agama.
Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) berkata amaran itu bukan sahaja berbaur hasutan, ia juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Keseksaan.
“Khairil Nizam Khirudin secara tidak sah dan melanggar perlembagaan menyatakan pandangannya mengenai perkara itu dan cuba merampas kuasa mahkamah,” kata MCCBCHST dalam satu kenyataan, merujuk kepada ketua penerangan PAS.
“Khairil harus menerima realiti bahawa Malaysia mempunyai perlembagaan bertulis yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini dan semua rakyat, tanpa mengira agama yang dianuti, tertakluk kepadanya.”
Semalam, Khairil Nizam memberi amaran kepada sesiapa yang cuba menukar agama anak perempuan kembar Loh berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun daripada Islam.
Loh baru-baru ini disatukan semula dengan anak-anaknya selepas mengesan mereka berikutan perpisahan dan penceraian dengan bekas suaminya, yang kini sedang menjalani hukuman di penjara.
Semasa perpisahan pasangan itu, anak-anak mereka telah ditukar agama tanpa kebenaran Loh dan dihantar untuk tinggal di rumah kebajikan di Perlis.
Beliau telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa bekas suaminya secara sah tidak layak untuk menukar agama anak-anaknya kepada Islam.
MCCBCHST menyatakan kes berkenaan sama dengan kes M Indira Gandhi, yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur hanya boleh dilakukan dengan persetujuan kedua ibu bapa.
Kumpulan itu menambah bahawa perkara itu adalah antara ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan PAS tidak sepatutnya terlibat dan menimbulkan ketidakharmonian.
Sementara itu, pemimpin DAP P. Ramasamy berkata tindakan PAS adalah tidak masuk akal dan penghinaan serius terhadap mahkamah.
Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga timbalan ketua menteri II itu juga membidas PAS kerana kurang faham mengenai undang-undang berhubung penukaran agama secara unilateral terhadap golongan bawah umur. – 30 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Lucy Young · Ulasan