KERAJAAN perlu meneruskan perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) kerana ada keperluan untuk operasi masa depan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kata panglimanya Mohd Reza Mohd Sany.
Beliau mengulas perolehan enam kapal perang yang mencetuskan kontroversi selepas syarikat terlibat Boustead Naval Shipyard (BNS) disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dan rasuah.
“Kita harap kerajaan buat keputusan sebelum hujung bulan ini sama ada mahu meneruskan projek ini atau tidak. Tetapi TLDM berpandangan projek berkenaan perlu diteruskan berikutan dah lama sangat kita tunggu,” katanya.
Beliau bercakap kepada wartawan ketika ditemui di Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022, di Kuala Lumpur.
Awal bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua ketua pegawai eksekutif syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam LCS.
Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.
Penahanan ini lanjutan laporan yang telah dibuat kepada SPRM oleh Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Mohamad Imran Abd Hamid.
Imran pada 21 November tahun lalu mendedahkan projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.
Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang menjadi syarikat induk BNS juga telah membuat laporan kepada SPRM untuk menyiasat penyelewengan itu.
BHIC juga telah menegaskan untuk terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam mencari penyelesaian kepada penyelewengan projek itu.
Difahamkan, dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baharu dalam siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal LCS yang dilaksanakan oleh BNS.
Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.
Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada TLDM.
Perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.
Projek itu dihentikan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dan siasatan dimulakan untuk mengenalpasti punca kelewatan projek tersebut ekoran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga sudah menjalankan lapan prosiding membabitkan projek LCS sehingga Januari 2022. – 28 Mac, 2022.
Komen