TURKI pada hari Sabtu membantah kritikan Amerika Syarikat (AS) bahawa sistem pertahanan Rusia yang dibeli negara itu tidak sejajar dengan komitmen Ankara terhadap NATO.
Pentagon pada hari Jumaat mengecam keras ujian pertama sistem S-400 buatan Rusia.
“Kami jelas dan tidak berganjak daripada pendirian kami: sistem operasi S-400 tidak sejajar dengan komitmen Turki sebagai sekutu AS dan NATO,” kata jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Jonathan Hoffman.
Bagaimanapun Turki tetap melaksanakan keputusannya pada hari Sabtu, dengan menegaskan bahawa ia memenuhi setiap komitmen terhadap NATO.
“Matlamat Turki tidak mengecewakan siapa pun melainkan ia bermaksud bagi menjamin keamanan rakyatnya,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Sebnem Aktop dalam satu kenyataan.
Ujian S-400 tetap dijalankan negara itu walaupun terdapat amaran berulang dari Jabatan Negara AS sekiranya sistem itu diaktifkan.
Presiden Recep Tayyip Erdogan pada hari Jumaat mengesahkan ujian pertama sistem pertahanan S-400 dan berkata: “Kami tidak akan meminta izin Amerika.”
Aktop berkata bahawa ujian itu adalah sebahagian daripada “proses semula jadi” dan menjelaskan bahawa mereka akan menggunakan sistem S-400 tanpa mengintegrasikannya dengan sistem kawalan arahan NATO - seiring dengan amalan anggota NATO lain yang memiliki sistem S-300.
Turki mengkritik AS kerana gagal menjual bateri peluru berpandu Patriot Amerika, disebabkan itu negara yang lantang mengkritik AS tersebut terpaksa mengalihkan perhatian kepada Rusia bagi memenuhi keperluan keselamatannya. – AFP, 24 Oktober, 2020.
Komen