Sultan Johor minta exco fokus, laksana janji dan ikhtiar PRN


Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bersama 10 exco yang mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. – Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 26 Mac, 2022.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini mengingatkan semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) supaya kekal fokus dan melaksanakan janji atau ikhtiar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan portfolio masing-masing.

Baginda bertitah kepentingan rakyat di negeri itu mesti menjadi keutamaan dan exco perlu bekerjasama dengan semua pihak serta menjalankan tugas dengan sebaiknya, sekiranya tidak mahu diganti oleh calon lain.

Jelas baginda tugas semua exco kerajaan negeri Johor sudah bermula daripada saat mereka mengangkat sumpah jawatan dan perlu sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan amanah dan jujur.

“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’.

“Masa kempen kamu sudah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua exco,” titah Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Terdahulu 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat sumpah jawatan exco di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, pagi ini.

Mereka yang mengangkat sumpah adalah Ketua Pemuda Umno Johor dan Adun Larkin Mohd Hairi Mad Shah; Ketua Wanita Bahagian Ledang Khairin Nisa Ismail (Serom), Ketua Pemuda MIC Kebangsaan K Raven Kumar (Tenggaroh), Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai), Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).

Turut mengangkat sumpah Ketua Puteri Umno Kota Tinggi yang juga Adun Johor Lama Norliza Noh, Ketua Pemuda MCA Johor Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir). – Bernama, 26 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen