Sultan Johor terima taklimat mengenai Pulau Batu Puteh


Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini. – Gambar Facebook, 21 Oktober, 2021.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru. 

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu menumpukan perbincangan isu Pulau Batu Puteh.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi baginda sebentar tadi, turut hadir pada pertemuan itu ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Abdul Rahim Ramli. 

Khamis lepas, Sultan Ibrahim bertitah tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh.

Ia susulan pengumuman perdana menteri pada 9 Okt lalu mengenai keputusan Kabinet mewujudkan pasukan petugas khas untuk semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh. 

Sehari selepas itu, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas kerajaan Persekutuan berhubung isu berkenaan. – Bernama, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen