Sabah untuk Malaysia, bukan warga Sabah semata-mata, kata Musa


Mohd Farhan Darwis

SLOGAN “Sabah for Sabahan” tidak sesuai dilaksanakan kerana negeri di bawah bayu itu merupakan contoh terbaik konsep 1Malaysia yang dibawa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Musa berkata, Sabah adalah untuk rakyat Malaysia dan budaya asimilasi itu harus diteruskan walaupun mereka berada di perantauan.

“Kita adalah satu keluarga besar dan ibarat adik beradik, walaupun berlainan suku kaum, agama, budaya, dan latar belakang yang berbeza, apa yang penting adalah kita bekerjasama dan berganding bahu sesama kita.

“Semangat persaudaraan dan rasa kekitaan inilah yang menjadi amalan dan budaya kita di Sabah selama ini. Apatah lagi Perdana Menteri Najib Razak telah mengakui dan mengiktiraf bahawa orang-orang Sabah adalah contoh terbaik semangat 1Malaysia.

“Saya berharap agar budaya ini dapat kita teruskan apabila kita berada jauh di perantauan, bukan ‘Sabah for Sabahan’ tapi Sabah dalam Malaysia,” katanya, ketika berucap dalam majlis pertemuan bersama anak Sabah di ibu negara.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Jainab Ahmad Ayid di Yayasan Tun Razak, di Kuala Lumpur hari ini.

Musa juga berkata, ekonomi Sabah pesat membangun di bawah pentadbiran BN.

“Alhamdulillah, negeri Sabah di bawah kepimpinan kerajaan BN terus pesat membangun dalam pelbagai sektor dengan adanya perpaduan rakyat, politik, dan ekonomi, serta usaha berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri,” kata Musa.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 300 anak jati Sabah dari pelbagai bidang termasuk dalam sektor kerajaan.

Antaranya, pegawai bomba Abd Ghani Abd Sani, 28, yang berkata, slogan Sabah for Sabahan tidak sesuai dilaksanakan sebaliknya Sabah adalah sebahagian Malaysia.

“Kita kena terbuka, tidak boleh menjadi seperti katak di bawah tempurung, kita 1Malaysia, Sabah for Sabahan tidak sesuai,” kata anak jati Lahad Datu itu yang sudah lima tahun menetap di ibu negara.

Sementara itu Mohd Shahrin Labang, 24, pegawai Bomba di Ibu Pejabat Bomba Gombak berkata, pertemuan hari ini amat bermakna kerana mereka dapat bermesra sesama anak Sabah.

“Kita rasa teruja, dapat mengetahui perkembangan Sabah seperti dimaklumkan dalam majlis hari ini,” kata anak jati Ranau itu.

Slogan “Sabahan untuk Sabah” itu dipopularkan oleh Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal sejak beliau meninggalkan Umno. Ia disesuaikan dari slogan Parti Bersatu Sabah, “Sabah untuk Sabahan”.

Slogan PBB yang digunakan sejak 1990-an itu merujuk kepada bantahan terhadap kawalan parti Semenanjung ke atas politik tempatan, serta pentadbiran negeri melalui BN Sabah.

Bantahan yang semakin meningkat telah mengakibatkan gesaan yang lebih kuat di kalangan rakyat Sabah untuk menuntut hak persekutuan, terutamanya hak pendapatan 40% dan kebangkitan pergerakan pemisah seperti Sabah, Sarawak Keluar Malaysia (SSKM).

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan slogan berkenaan sebagai menghasut dan berjanji akan mengenakan tindakan ke atas pihak yang melaungkan slogan kenegerian itu. – 11 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sabah sudah menandatangani memorendum utk mnjdi sbhgian dr malaysia..jd ia tidak perlu menjadi isu yg sabah hnye utk sabah saje..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan