DUA akhbar utama Sri Lanka menangguhkan edisi cetak mereka berikutan kekurangan kertas, kata pemilik pada Jumaat, terbaharu dalam krisis ekonomi pulau itu.
Negara Asia Selatan dengan 22 juta penduduk itu berhadapan kegawatan ekonomi terburuk sejak merdeka daripada Britain pada 1948 selepas rizab asingnya mencecah titik terendah.
Akhbar Upali milik persendirian berkata akhbar berbahasa Inggeris mereka, The Island, dan versi bahasa Sinhala, Divaina, hanya akan tersedia dalam talian “memandangkan kekurangan kertas”.
Akhbar harian utama lain negara itu juga telah mengurangkan halaman selepas kos melonjak lebih satu pertiga dalam tempoh lima bulan lalu kerana kesukaran mendapatkan bekalan dari luar negara.
Peperiksaan sekolah untuk hampir tiga juta daripada 4.5 juta murid Sri Lanka telah ditangguhkan minggu lalu selepas pihak berkuasa gagal mendapatkan kertas dan dakwat yang mencukupi.
Kekurangan dolar telah mencetuskan kekurangan tenaga yang menjejaskan semua sektor dan melonjakkan harga, dengan inflasi pada rekod 17.5 peratus pada Februari, tertinggi buat bulan kelima berturut-turut.
Pemandu kenderaan terpaksa beratur di pam petrol dan sekurang-kurangnya empat orang maut dalam seminggu lalu ketika menunggu berjam-jam.
Pegawai kementerian tenaga berkata mereka berjaya mengumpul AS$42 juta menjelang Jumaat untuk membayar kargo diesel dan bahan api penerbangan yang ditahan di pelabuhan Colombo selama hampir dua minggu kerana tiada dolar untuk membayarnya.
Awal bulan ini, kerajaan membenarkan rupee merosot dan mengumumkan akan mendapatkan bailout IMF untuk menyusun semula hutang asingnya.
Sri Lanka memerlukan hampir AS$7 bilion untuk membayar hutang luar negerinya tahun ini manakala rizab asing negara itu telah mencecah AS$2.3 bilion, turun daripada AS$7.5 bilion ketika kerajaan semasa berkuasa pada November 2019.
Pulau itu juga sedang mencari lebih banyak pinjaman daripada India, China dan negara lain untuk mengatasi krisis matawangnya.
Sri Lanka berada dalam krisis ekonomi yang mendalam apabila pandemik melanda, mengurangkan kiriman wang pekerja asing dan melumpuhkan sektor pelancongan yang menguntungkan, sumber utama dolar untuk ekonomi. – AFP, 25 Mac, 2022.
Komen