SEMPADAN darat antara Singapura dan Malaysia akan dibuka semula kepada semua pengembara yang lengkap vaksinasi mulai 1 April, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Pengembara juga tidak perlu kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.
“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail.
Sementara itu Lee berkata ia adalah penting dalam peralihan untuk hidup dengan Covid-19.
“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan Covid-19.
“Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kededua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kededua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata Lee.
Perjalanan bebas kuarantin ini terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat, tambah mereka.
Terdahulu hari ini, Lee turut mengumumkan bermula 29 Mac, pemakaian pelitup muka di kawasan luar di Singapura akan menjadi satu pilihan, dan saiz perkumpulan untuk majlis sosial akan digandakan daripada lima kepada 10 individu, ketika republik itu membuat keputusan untuk menjalani kehidupan norma baharu dengan Covid-19.
Walaupun pemakaian pelitup muka di luar adalah pilihan berikutan risiko jangkitan yang rendah, ia masih diwajibkan bagi kawasan tertutup, kata Lee menerusi ucapan yang disiarkan menerusi televisyen hari ini.
Singapura dan Malaysia kini mempunyai Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) yang membolehkan pengembara ke negara itu melalui darat dan udara.
Malaysia akan memasuki peralihan ke fasa endemik pada 1 April. Ia akan menyaksikan sempadan antarabangsa dibuka buat kali pertama dalam tempoh dua tahun. – 24 Mac, 2022.
Komen