China anjur 'Kuliah Tiangong', beri pendedahan misi jelajah angkasa 


Tiga angkasawan tersebut turut mempamerkan fasiliti dan peralatan yang dilengkapi di stesen angkasa lepas.– Gambar EPA, 24 Mac, 2022.

SESI kedua “Kuliah Tiangong” dari stesen angkasa lepas berjalan lancar, menurut Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA).

Kuliah selama 45 minit itu disampaikan kru kapal angkasa Shenzhou-13, Zhai Zhigang, Wang Yaping dan Ye Guangfu secara  langsung pada Rabu.

Tiga angkasawan itu berkongsi pengisian menarik dalam slot interaksi bersama para pelajar dari tiga lokasi di Bumi, iaitu Muzium Sains dan Teknologi China di Beijing serta Lhasa di Wilayah Autonomi Tibet dan Urumqi di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang.

Kuliah itu bermula pada 3.40 petang dengan slot demonstrasi siri eksperimen fizik yang dijalani ketiga-tiga mereka dalam keadaan graviti sifar.

Antaranya termasuk ujian membabitkan penghabluran supertepu, tegangan permukaan air, pemisahan minyak dan air, dan momentum tanpa graviti.

Kuliah itu menarik minat pelajar sekali gus dapat menambah ilmu pengetahuan pelajar.

Dalam pada itu, tiga angkasawan tersebut turut mempamerkan fasiliti dan peralatan yang dilengkapi di stesen angkasa lepas, dan menceritakan lebih lanjut tentang tugas mereka.

Bagi slot terakhir, para pelajar diberikan peluang untuk bertanyakan soalan.

Pengarah Pusat Teknologi dan Kejuruteraan bagi Penggunaan Angkasa dari Akademi Sains China (CSU), Zhang Wei menyatakan “Kuliah Tiangong” memberi pendedahan terhadap orang ramai terutamanya pelajar mengenai ilmu astronomi dan seterusnya menarik minat mereka dalam bidang berkenaan.

“Kesemua maklumat yang disediakan melalui kuliah ini diharap dapat menambah pengetahuan pelajar dan memberi motivasi kepada mereka untuk lebih minat dalam bidang sains dan teknologi,” katanya.

Menurut Zhang, terdapat belasan kabin eksperimen akan diterbangkan ke stesen angkasa lepas pada masa akan datang demi meneroka bidang astronomi dan mempelbagaikan pengisian kuliah buat golongan belia.

Seperti yang dinyatakan Wang Yaping ketika berkuliah, modul makmal Wentian yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan dilengkapi dengan beberapa kabinet eksperimen untuk penyelidikan tentang haiwan, tumbuhan dan mikroorganisma.

“Di stesen angkasa lepas, selain terdapat eksperimen yang diingini saintis, idea dan cadangan daripada anda semua juga amat dialu-alukan,” kata Wang kepada pelajar.

China merupakan negara kedua yang menganjurkan sesi kuliah dari stesen angkasa selepas Amerika Syarikat.

Kuliah berkenaan menjadi wadah dalam membentuk generasi muda yang celik ilmu sains angkasa, secara tidak langsung menyuntik minat mereka terhadap bidang berkaitan astronomi.

Kini, bidang itu semakin mendapat tempat di hati masyarakat China terutama selepas negara ini beroleh kejayaan cemerlang dalam melahirkan angkasawan serta mempertingkat kemandirian sains dan teknologi sehingga menjadi tonggak strategi pembangunan negara. – Bernama, 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen