Jangan salahkan pembangkang gagal lulus usul Sosma, kata Loke 


Chan Kok Leong Aminah Farid

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata mereka yang tidak hadir menyebabkan kegagalan untuk meluluskan pindaan berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

PUTRAJAYA perlu menerima kesalahan atas kegagalan untuk meluluskan RUU pindaan Sosma semalam dan kerajaan tidak sepatutnya menyalahkan ahli Parlimen pembangkang, kata Anthony Loke.

Dalam perbahasan Parlimen pertamanya sebagai setiausaha agung DAP, Loke berkata beliau tidak menjangka kerajaan akan kalah undian kerana ia mengharapkan lebih 114 ahli Parlimennya.

“Walaupun mendapat sokongan daripada ahli Parlimen ini, hanya 84 yang hadir mengundi manakala 30 yang lain tidak hadir dan ini termasuk Pekan (Najib Razak-BN), Bagan Datuk (Zahid Hamidi-BN), dan beberapa orang lagi,” katanya semasa perbahasan pindaan rang undang-undang perlembagaan hari ini.

“Tiga puluh yang tidak hadir itu adalah mereka yang menyebabkan kegagalan meluluskan pindaan jadi jangan salahkan kami (pembangkang),” katanya.

Walaupun tidak dapat dipastikan mengapa kebanyakan daripada 30 orang itu tidak hadir, apa yang boleh disahkan ialah Najib berada di mahkamah untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd.

RUU pindaan – yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin – untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi ditolak melalui undi belah bahagi (86-84) di Parlimen semalam.

Loke turut membetulkan Annuar Musa (Ketereh-BN) yang mendakwa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara PH dan Putrajaya kerana mereka mengundi untuk tidak menyokong pindaan Sosma.

“Saya nak betulkan apa yang YB Ketereh cakap semalam di Facebook, YB Ketereh kata kita batalkan MoU sebab kita tolak cadangan.”

“Beliau menggunakan peruntukan 3.3B MoU kami yang berbunyi “tertakluk kepada penilaian dan pelaksanaan transformasi dalam MoU persefahaman ini, PH mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan sebarang usul atau rang undang-undang kerajaan,” katanya.

“Beliau berhenti di situ tetapi ayat dalam MoU itu mempunyai sambungan lain yang berbunyi “satu lagi rang undang-undang, yang kegagalannya untuk meluluskannya adalah satu bentuk ketidakpercayaan atau kurang keyakinan terhadap kerajaan selepas proses penggubalan rang undang-undang itu dirundingkan dan dipersetujui pada dasarnya,” katanya.

“Ini juga selaras dengan apa yang kita persetujui dalam MoU. Ini jelas menunjukkan walaupun kita ada MoU, tidak bermakna kita sokong semua atau bangkang semua, ada perkara kita setuju kita sokong, ada perkara kita tidak setuju, kami menentang kerana itu hak kami sebagai pembangkang, sebagai ahli Parlimen.”

Bagaimanapun, Loke berkata rang undang-undang pindaan Sosma tidak dirundingkan dengan pembangkang.

“Kita tidak bersetuju dan menolak cadangan Sosma tetapi adakah itu bermakna perdana menteri telah hilang sokongan? Jawapannya tidak kerana kewajipan kita adalah untuk meluluskan Belanjawan 2022 yang kita lakukan. Jadi soal kepercayaan kepada PM tidak timbul sama sekali,” katanya.

Loke berkata jika terdapat syak wasangka yang pembangkang telah hilang kepercayaan kepada PM,m maka usul percaya perlu dikemukakan di Parlimen.

“Tetapi kamu akan melihat bahawa PM mendapat sokongan kami jika usul ini dibangkitkan,” katanya.

Loke berkata ia adalah kemenangan kepada Parlimen yang dimenangi oleh pembangkang semalam kerana ia membuktikan tidak semua usul atau rang undang-undang yang dibawa oleh eksekutif boleh diluluskan dan menunjukkan bahawa Parlimen bukan ‘rubber stamp’.

Bagaimanapun, Loke berkata pembangkang akan menyokong rang undang-undang pindaan perlembagaan hari ini.

Selain Annuar, Zahid turut menggesa kerajaan meneliti semula MOU tersebut.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan juga selari dengan kenyataan itu, menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti pembangkang.

Kedua-duanya mendakwa PH telah melanggar MOU dengan enggan menyokong kerajaan. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen