Zahid, Najib tidak hadir semasa undian, kata Fahmi


Chan Kok Leong Aminah Farid

Fahmi Fadzil berkata hipokrit salahkan Pakatan sedangkan ahli Parlimen kerajaan sendiri gagal hadir semasa undian usul pindaan Sosma semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

NAMA besar Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak antara yang tidak mengundi rang undang-undang (RUU) pindaan kerajaan bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata ahli Parlimen pembangkang Fahmi Fadzil.

“Berdasarkan saksi ahli-ali Parlimen yang hadir semalam waktu undian usul Sosma, antara mereka yang tidak hadir untuk mengundi termasuklah Zahid (Bagan Datuk), Najib (Pekan), Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan Ahmad Maslan (Pontian),” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam catatan di Facebook miliknya pagi tadi.

“Mereka di kalangan 31 ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi semalam,” kata Fahmi.

Zahid adalah presiden Umno manakala Ahmad Maslan merupakan setiausaha agung parti. 

Sementara, Najib adalah penasihat Umno manakala Muhyiddin mengetuai gabungan Perikatan Nasional dan presiden Bersatu.

Fahmi berkata hipokirt menyalahkan Pakatan Harapan (PH) kerana melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani gabungan itu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tahun lepas.

“Dari mereka jaja cerita kononnya PH gagalkan MoU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.”

Zahid, yang mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen, sebelum ini menggesa kerajaan menyemak semula MoU itu selepas RUU pindaan Sosma gagal diluluskan semalam.

Turut membuat gesaan itu ialah timbalan presiden Mohamad yang mempersoalkan kebolehpercayaan pembangkang.

Kedua-duanya berkata PH melanggar MoU dengan tidak menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, setiausaha agung DAP yang baru dilantik Anthony Loke menolak tanggapan ini. 

Beliau berkata di Facebook, undian menentang pindaan Sosma tidak mempunyai kaitan dengan MoU itu.

MoU itu secara khusus menyebut sokongan daripada PH diperlukan untuk Bajet 2022.

RUU pindaan – yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin – untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma selama lima tahun lagi ditolak melalui undi belah bahagi (86-84) di Parlimen semalam.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, ketika mengumumkan pengundian berkata 50 ahli Parlimen tidak hadir. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen