RUU anti lompat parti dibentang bulan depan, kata Anthony Loke


Aminah Farid

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (kiri), Presiden Amanah Mohamad Sabu (kedua kiri) dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook (kanan) bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu mesyuarat hari ini. – Gambar Facebook, 23 Mac, 2022.

KERAJAAN memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Ramadan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan dalam satu mesyuarat hari ini bahawa RUU itu itu akan dibentangkan dalam satu sidang khas, kata Loke dalam kenyataan di Facebook.

Isu teknikal mengenai RUU itu akan ditangani jawatankuasa teknikal melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Putrajaya tidak lama lagi, katanya.

“Kita beri komitmen penuh yang PH akan bekerjasama bagi memastikan pindaan perlembagaan dapat diluluskan,” kata Loke.

Beliau hadir dalam mesyuarat dengan Ismail Sabri bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

RUU itu antara kandungan penting memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan Putrajaya yang ditandatangani selepas Umno kembali menguasai pentadbiran negara pada Ogos tahun lalu.

Dokumen ditandatangan pada 13 September itu menyebut ia perlu dibentang dan diluluskan dalam tempoh tidak lewat dari mesyuarat Dewan Rakyat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14.

Mesyuarat yang bermula pada 28 Februari itu bakal berakhir esok namun kerajaan mahu tempoh perbincangan dilanjutkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu “perbincangan lanjut” untuk meraih sokongan di Dewan Rakyat.

Amanah semalam memberi amaran, pembangkang akan turun ke jalan jika perdana menteri mungkur janji membentangkan RUU antilompat parti minggu ini.

DAP juga memberi amaran perjanjian dengan PH semasa akan “selesai dan tamat” jika RUU anti lompat parti tidak dibentangkan seperti dijanjikan.

Desakan serupa dinyatakan Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz supaya kerajaan tidak menangguhkan lagi pembentangan RUU itu. – 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen