Wan Junaidi kelirukan Dewan Rakyat berkaitan RUU anti lompat parti, kata Mahfuz


Noel Achariam Aminah Farid

Mahfuz Omar mahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengambil tindakan terhadap Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana "mengelirukan Dewan" berkenaan rang undang-undang anti lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2022.

AHLI Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengambil tindakan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana “mengelirukan Dewan” berkenaan rang undang-undang anti lompat parti.

Dalam usul yang difailkannya bagi memohon tindakan terhadap menteri itu Mahfuz berkata Wan Junaidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata di Parlimen bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan ketika persidangan yang berlangsung ketika ini.

“Tetapi sehingga kini draf rang undang itu masih belum dibentangkan kerana esok adalah hari terakhir untuk persidangan Parlimen.

“Jadi jawapan rasmi (mengenai rang undang-undang) yang diberikan di Dewan Rakyat oleh Wan Junaidi mengelirukan Dewan,” katanya. 

Minggu lalu Wan Junaidi berkata rang undang-undang anti lompat parti memerlukan pertimbangan lanjut sebelum ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Rang undang-undang itu yang juga bertujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen kerana ia juga memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Wan Junaidi berkata lebih banyak perbincangan dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional diperlukan untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen mereka.

Mahfuz hari ini berkata semua ahli Parlimen dan rakyat menunggu rang undang-undang itu dibentangkan.

“Itulah pentingnya rang undang-undang ini dibentangkan (sekarang).

“Ahli politik tidak boleh menjadi pelacur politik,” katanya.

Mahfuz juga bersetuju dengan Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas-BN) bahawa rang undang-undang itu hanya perlu dibentangkan dahulu dan semakan dibuat kemudian. – 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen